Siakap Keli
empat remaja merempit ketika aidilfitri
Gambar: Sinar Harian

Padah Merempit Ketika Aidilfitri, Empat Remaja Ditahan Polis

Padah Merempit Ketika Aidilfitri, Empat Remaja Ditahan Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah berjaya menahan empat remaja yang melakukan aksi rempit di sekitar ibu negara pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Op Selamat 20/2023 yang bermula jam 1.30 pagi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan aksi yang dilakukan oleh penunggang motosikal tersebut.

Jelasnya, empat lelaki yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun telah ditahan secara berasingan.

“Operasi yang dijalankan mendapati penunggang terbabit melakukan aksi berbahaya seperti ‘superman’, bersaing sesama sendiri dan zig zag.

Baca: Rezeki Ramadan, Tengah ‘Shopping’ Raya Ada Yang Tawar X70 Percuma

“Tindakan sitaan diambil ke atas empat motosikal iaitu dua ialah Honda EX5 dan dua lagi Yamaha LC,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, tindakan telah diambil di bawah seksyen 42 (1) APJ 1987.

Dalam pada itu, pihaknya turut menasihatkan agar ibu bapa memantau kegiatan anak-anak terutamanya pada sebelah malam bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan kegiatan yang tidak sihat.

Dalam pada itu, polis sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam video menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Peringat dan telah merampas sebuah motosikal jenis Honda C-110B berwarna putih.

Sepasang baju kurung berwarna biru serta sepasang baju melayu lelaki berwarna biru turut dirampas kerana dipercayai digunakan ketika melakukan aksi bahaya tersebut.

Kedua-dua suspek gagal ditemui dan dipercayai telah melarikan diri. Suspek juga telah dikenalpasti akan disenaraihitamkan.

Sumber: Sinar Harian

Aqmal Ezany

I write what is right