Siakap Keli
gajah alih pokok
Kredit Facebook

Tersangkut Dalam “Jam”, Pemilik Guna Gajah Peliharaan Bantu Alih Pokok Tumbang Halang Jalan

Tersangkut Dalam “Jam”, Pemilik Guna Gajah Peliharaan Bantu Alih Pokok Tumbang Halang Jalan

Seekor gajah dilaporkan telah membantu mengalihkan pokok tumbang yang menghalang Jalan Lampang-Phrae di utara Thailand semasa ribut pada Isnin lalu, lapor Thaiger.

Pemilik gajah, Weerawat Triyot berkata, ketika kejadian dia dan gajahnya itu dalam perjalanan pulang ke wilayah Chaiyaphum.

Weerawat ketika itu sedang membawa gajahnya yang berusia 16 tahun bernama Dan Siam ke festival di wilayah Phrau, kampung halamannya.

Tidak lama selepas meninggalkan perayaan itu, Weerawat telah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Trafik dikatakan telah terhenti, lalu Weerawat memutuskan untuk keluar dari keretanya dalam keadaan hujan lebat bagi melihat apa yang berlaku.

Empat buah kenderaan dihadapannya telah terhalang oleh sebatang pokok yang tumbang di atas jalan.

Weerawat seterusnya memutuskan untuk mengeluarkan Dan Siam dari kenderaannya dan membantu mengalihkan pokok tersebut.

Gajah bertindak mengangkat pokok tumbang

Kejadian itu sempat dirakam oleh pengguna di Facebook Live. Menerusi rakaman itu, Dan Siam dilihat mengangkat pokok tersebut lalu meletakkannya di tepi jalan, membuka laluan kepada lalu lintas.

Walaupun penggunaan gajah dalam aktiviti buruh fizikal sudah jarang digunakan pada sekarang ini, namun haiwan yang kuat dan pintar ini pernah memainkan peranan penting dalam industri pembalakan di Thailand.

Semasa pemerintahan Raja Rama V (1868-1910), permintaan terhadap kayu jati dalam pasaran global berkembang pesat. Gajah menjadi sebahagian daripada proses pembalakan tersebut dengan menyeret kayu balak yang berat melalui hutan.

BACA: Ada 800 Kedai Pakaian, Ni Tempat Terbaik Korang Beli Baju Raya, Senang ‘Match’ Satu Keluarga

Pada awal 1900-an, terdapat 100,000 gajah peliharaan di Thailand digunakan bukan sahaja untuk pembalakan tetapi ia digunakan untuk tujuan pengangkutan.

Haiwan itu juga seringkali digunakan untuk tujuan pembinaan jambatan dan kerja pembinaan yang lain.

Pembalakan memusnahkan alam sekitar sehinggalah ia diharamkan pada tahun 1989.

Walaupun gajah menjalani kehidupan yang sukar untuk bekerja dengan berat, pengharaman aktiviti itu telah menjejaskan kehidupan haiwan tersebut.

Haiwan itu tidak cukup makan kerana pemilik mereka tidak memiliki wang yang cukup untuk menanggung makan haiwan 300 kilogram yang sudah tidak bekerja.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka