Siakap Keli
jock zonfrillo meninggal dunia
Kredit: Stuff

Juri MasterChef Australia Jock Zonfrillo Meninggal Dunia

Juri MasterChef Australia Jock Zonfrillo Meninggal Dunia

Juri rancangan realiti MasterChef Australia Jock Zonfrillo, dilapor meninggal dunia pada usia 46 tahun di Melbourne pada Ahad.

Setakat ini, punca kematiannya masih tidak dapat dikenal pasti, lapor The Guardian.

Dalam pada itu, jurucakap Polis Victoria berkata bahawa kematian itu tidak dianggap sebagai mencurigakan.

Kematian itu disahkan oleh keluarganya pada Isnin dalam satu kenyataan.

“Dengan hati yang hancur sepenuhnya dan selepas ini tidak mengetahui bagaimana untuk meneruskan hidup tanpa dia, kami dengan berat hati berkongsi Jock telah meninggal dunia semalam.

“Seorang suami, bapa, abang, anak dan rakan yang tidak boleh tukar ganti telah tiada,” kata keluarganya. 

Terkejut dengan pemergian yang cepat, keluarga meminta orang ramai yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya untuk terus mengingatinya.

“Banyak perkataan yang boleh menggambarkan dirinya dan banyak cerita boleh dikongsikan tetapi pada masa ini kami terkedu untuk berkata-kata.

“Kepada sesiapa yang pernah bertemu dengannya, menjadi pasangan hidupnya atau cukup bertuah untuk menjadi keluarga, simpanlah dirinya di dalam hati,” ujarnya.

Sementara itu, chef selebriti Jamie Oliver, yang menjadi tetamu pada episod pertama musim MasterChef Australia yang akan datang berkata dirinya merasa terkejut dengan pemergian Jock.

“Kami mempunyai masa yang seronok ketika bekerja untuk MasterChef tahun ini, saya tidak dapat mengungkapkan dengan kata-kata betapa bagusnya kerja Jock.

“Jock sangat bermurah hati kepada saya ketika bekerja dan untuk itu saya sangat-sangat bersyukur. Jock akan sangat dirindui,” tulisnya di laman Instagram miliknya.

Musim baharu MasterChef Australia akan ditayangkan pada malam Isnin namun Network 10 mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa ia tidak akan disiarkan pada minggu ini.

Maklumat Diri Jock

Kredit: The Guardian

Sedikit maklumat mengenai Jock, dia mula bekerja di dapur sebagai tukang basuh pinggan mangkuk pada usia 13 tahun.

Difahamkan juga, dia telah meninggalkan sekolah sewaktu dia berumur 15 tahun.

Jock mula bekerja untuk cef Britain terkenal Marco Pierre White semasa dia berusia 17 tahun.

Kemudian telah dilantik sebagai ketua cef di hotel Cornwall’s Tresanton ketika berusia 22 tahun.

Setelah itu, dia membuka beberapa restoran di Adelaide termasuk Restoran Orana, Street ADL, Bistro Blackwood dan Nonna Mallozzi.

Pada 2019, dia telah menjadi juri tetap di MasterCef Australia bersama Melissa Leong dan Andy Allen, menggantikan hos asal rancangan tersebut.

Sumber: The Guardian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana