Bayi 38 Hari Meninggal Dunia, Didakwa Terkena Sawan Selepas Terkejut Jiran Main Mercun
Seorang bayi berusia 38 hari dilapor meninggal dunia selepas didakwa terkena serangan sawan akibat terkejut mendengar bunyi letupan mercun yang dibaling jirannya.
Menurut Tribun Solo, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di Benjeng, Gresik di Indonesia pada 24 April lalu.
Bayi berkenaan dilaporkan sempat menerima rawatan di sebuah hospital selepas kejadian serangan sawan itu sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Dalam laporan media tempatan, mercun berkenaan dipercayai dilempar oleh seorang lelaki berusia 53 tahun ketika menemani cucunya bermain bunga api ketika sambutan perayaan Aidilfitri.
Lelaki berkenaan dilaporkan sudah pun bertemu dengan keluarga mangsa bagi meminta maaf atas kejadian yang berlaku. Difahamkan, kehadiran lelaki berkenaan ke rumah jirannya ditemani oleh Ketua Daerah Gresik, Fandi Akhmad Yani yang bertindak sebagai saksi.
“Dalam sudut hati ini, tidak ada niat pun untuk mengganggu jiran tetangga, khususnya bayi. Sebab jarak rumah dengan keluarga ini sekitar selang tiga rumah, sejauh lima belas sampai dua puluh meter,” kata lelaki berkenaan.
Tambahnya lagi, selepas menyalakan mercun tersebut, dia bersama cucu dan anak saudaranya melihat kanak-kanak lain turut menyalakan mercun berdekatan sebuah surau.
Kronologi kejadian
Dalam pada itu, ibu bayi malang berkenaan berkata ketika kejadian yang berlaku kira-kira 8.00 malam itu, mereka sekeluarga sedang berehat di rumah.
Mereka kemudiannya mendengar bunyi letupan mercun yang menyebabkan bayi tersebut terkejut dan diserang sawan. Bayi itu juga menangis dengan kuat, mata sebelah kanan tidak boleh dibuka dan lidah menjadi kaku.
Melihat situasi bayi itu, mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia pada 27 April.
Hasil ujian imbasan yang dibuat oleh doktor mendapati terdapat kesan pembuluh darah pecah dan laporan berkenaan sudahpun diserahkan kepada polis.
Menurut ibu bayi tersebut, mangsa sebelum ini dilahirkan dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
BACA: Siap Ada Akta Sendiri & Dinaungi YDPA Agong, Ini Fakta Menarik Pengakap Malaysia
Sumber: Tribun Solo, Surabaya Kompas