Siakap Keli
Ikan koi mati goreng
Kredit: Twitter

Pasrah Melihat Ikan Koi Peliharaan Mati, Ayah Tenang Jadikan Ikan Goreng

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pasrah Melihat Ikan Koi Peliharaan Mati, Ayah Tenang Jadikan Ikan Goreng

Jika haiwan peliharaan kita mati, sudah semestinya kita akan merasa sedih atas pemergian peneman ini. Bangkainya biasanya akan ditanam dan anak-anak kecil akan menanda kawasan tersebut sebagai kubur haiwan kesayangan mereka.

Manakala hidup mesti diteruskan dan kita mesti memandang ke hadapan. Pelbagai cara untuk ‘move on’ daripada pemergian haiwan tersayang, antaranya seperti menjadi sukarelawan bagi haiwan terbiar artaupun bela sahaja haiwan peliharaan lain.

Namun, langkah ‘move on‘ yang diambil oleh pemilik haiwan ini sangat di luar jangkaan. Seorang pemilik ikan koi nekad menggoreng ikan koi yang telah mati akibat pam kolam terhenti seketika.

Kisah ikan goreng luar biasa ini diceritakan oleh seorang pengguna Twitter (@Nadia_Nazir) pada 2 Mac. Dia membuat ciapan kisah bapanya menggoreng ikan koi peliharaannya selepas mendapatinya sudah tidak bernyawa lagi.

Nadia melihat keadaan ikan tersebut (selepas digoreng) dengan perasaan yang terkesima. Dirinya tidak menyangka bahawa ikan berkenaan sebenarnya boleh dimakan sebab tidak pernah melihat sesiapa yang menjamahnya.

Kisah ikan koi yang mati itu digoreng dan dijadikan santapan makan malam

Pihak Siakap Keli telah menghubungi Nadia untuk mendapatkan keterangan mengenai ikan goreng bapanya yang luar biasa. Nadia memberitahu bahawa kisah ikan koi goreng bapanya diceritakan menerusi kumpulan Whatsapp keluarga.

Nadia tidak dapat mengesahkan harga ikan koi tersebut disebabkan bapanya mula membela sejak kecil lagi. Menurut hasil carian di Google, harga seekor ikan koi di Malaysia biasanya dalam lingkungan RM 300 hingga RM400 seekor.

Ini tidak termasuk faktor saiz dan gred, berkemungkinan harga ikan lebih tinggi daripada harga purata.

“Pada awalnya, Papa cerita dekat rumah tak ada elektrik, Jadi, pam dekat kolam pun berhenti.”

Tidak lama selepas insiden bekalan elektrik terputus, bapanya mendapati dua ekor ikan peliharaannya sudah pun terapung di atas air. Manakala, dua ekor ikan lagi dilaporkan masih hidup.

Melihat keadaan ikan yang sudah lagi tidak bernyawa, bapa Nadia memberi cadangan kepada isterinya untuk menggoreng ikan berkenaan.

Isterinya, merangkap ibu Nadia bersetuju dengan cadangan berkenaan tetapi mengenakan syarat iaitu tugasan menyiang ikan tersebut perlu dilakukan suaminya.

Hal ini disebabkan ibu Nadia tidak sanggup menyediakan ikan tersebut untuk digoreng. Ketika ikan koi tersebut disiang, bapanya memberitahu bahawa ikan tersebut masih dalam keadaan segar.

“Masa Papa siang tu, dia cakap ikan itu masih berdarah. Insang dia merah lagi,”

Tertanya-tanya mengenai rasa ikan koi goreng tersebut

Disebabkan ‘clueless‘ mengenai rasa ikan tersebut, ibunya turut menyediakan kuah asam pedas untuk dimakan bersama ikan koi goreng tersebut.

Siakap Keli turut bertanya pada Nadia bagaimana rasanya saat menjamah ikan berkenaan dan sudah semestinya itu merupakan soalan yang paling ditanya-tanya warganet.

“Mama cakap dagingnya rasa manis-manis, macam makan ikan siakap. Tapi banyak tulang. Sebenarnya, kalau tak makan dengan kuah pun okay,”

Menurut fakta, ikan koi Jepun merupakan sebahagian daripada keluarga ikan kap (carp) iaitu Cyprinidae. Cyprinidae terdiri daripada ikan spesies air tawar dan boleh dimakan dengan selamat.

Mungkin disebabkan sisik ikan koi yang cantik, maka ia sering dijadikan sebagai haiwan hiasan bukannya sumber protein manusia.

Ketika ditanya mengenai reaksi melihat gambar ikan berkenaan digoreng dalam airfyer, Nadia berserta adik lelakinya sangat terkejut melihat gambar berkenaan.

Baginya, rasa agak sedikit ngeri tetapi ia merupakan satu pengetahuan yang menarik bahawa ikan tersebut sebenarnya boleh dimakan.

BACA: “Step by Step”, Cara Nak Isi E-Filing Cukai Buat Kali Pertama

Sumber: @Nadia_Nazir via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma