Siakap Keli
5 hari terkandas
Gambar: BBC

Hanya Makan Gula-Gula, Wanita Ditemui Selamat Lepas 5 Hari Terkandas Di Kawasan Hutan

Hanya Makan Gula-Gula, Wanita Ditemui Selamat Lepas 5 Hari Terkandas Di Kawasan Hutan

Seorang wanita berusia 48 tahun dilaporkan selamat selepas lima hari terkandas di kawasan hutan di Australia dengan memakan gula-gula dan minum sebotol minuman keras.

Menurut BBC, wanita terbabit sebelum itu memandu di sekitar kawasan tersebut sebelum melalui selekoh yang salah. Ia juga menyebabkan kenderaannya tersangkut dalam lumpur.

Wanita itu dikatakan hanya mempunyai sebotol wain di dalam keretanya, yang sebenarnya dirancang untuk dijadikan sebagai hadiah.

Pasukan Penyelamat Menjalankan Misi Pencarian Mencari Wanita Itu 

Selepas lima hari terkandas, dia ditemui oleh perkhidmatan kecemasan pada Jumaat ketika mereka melakukan pencarian dengan menaiki helikopter.

“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah mengenai rokok dan air. Saya fikir akan mati di sini.

“Saya hampir berputus asa,” katanya.

Sementara itu, polis Victoria memaklumkan bahawa wanita itu ditemui sekitar 60km (37 batu) dari bandar terdekat dan disebabkan masalah kesihatan dia tidak dapat berjalan jauh dan tidak berganjak dari keretanya.

Dia hanya mempunyai sedikit makanan ringan dan gula-gula untuk dimakan.

Tidak cuma itu, dia hanya meminum wain yang sepatutnya diberikan kepada ibunya.

“Dia bijak kerana tetap berada di dalam keretanya dan tidak merayai ke kawasan belukar, yang membantu polis mencarinya,” kata Sarjan Balai Polis Wodonga, Martin Torpey.

Dalam pada itu, wanita tersebut telah dibawa ke hospital untuk dirawat kerana mengalami dehidrasi. Tidak lama selepas itu, dia dilaporkan telah pulang ke Melbourne.

Kejadian Dua Kanak-Kanak Ditemui Selepas Sebulan Sesat Di Hutan

Imbas semula, kejadian hampir sama pernah berlaku melibatkan dua orang kanak-kanak yang hilang di hutan hujan Amazon Brazil selama empat minggu ditemui dalam keadaan masih hidup .

Dalam kejadian pada tahun lalu itu, dua beradik tersebut meninggalkan rumah mereka untuk mencari burung. Tetapi, mereka tidak pulang-pulang ke rumah.

Pihak berkuasa memulakan misi pencarian meluas di hutan negara itu. Namun menamatkan pencarian pada 26 Februari 2022.

Bagaimanapun, keberadaan mereka berdua telah ditemui oleh seorang penebang pokok.

BACA JUGA: Hanya Minum Air Hujan, Dua Kanak-Kanak Ditemui Selepas Sebulan Sesat Dalam Hutan Amazon

Sumber: BBC

Ezzatul Syafiqah