Siakap Keli
litter box kucing
Kredit: The Spruce

Kenapa Kucing Suka ‘Membuang’ Di Luar “Litter Box”? Ini Mungkin Alasannya

Kenapa Kucing Suka ‘Membuang’ Di Luar “Litter Box”? Ini Mungkin Alasannya

Apabila kucing anda mula kencing dan berak di luar kotak yang disediakan, anda mungkin merasa bimbang dengan situasi yang berlaku.

Ya, memang ada betulnya bahawa masalah membuang air kecil dan besar berpunca daripada penyakit. Namun kebanyakan kes, kucing ini hanya sekadar ‘membuat aduan’ ke atas kotaknya.

Haiwan tidak mampu bertutur dalam bahasa manusia, lagi-lagi menulis. Jika ia mengiau sekalipun, mungkin kita sendiri tidak memahami apa yang diluahkannya. Apa yang hanya dapat dilakukan kucing adalah ‘mogok’ untuk tidak menggunakan litterbox yang disediakan tuannya.

Bagi sesiapa yang ingin memahami haiwan peliharaan mereka, berikut merupakan sebab mengapa kucing membuang di luar litterbox.

1. Kucing anda tidak suka pasir kucing yang digunakan

Kucing sangat cerewat dengan pasir yang digunakan pada kotak kencing mereka. Jika ia tidak suka bau dan tekstur pada tapak tangannya, haiwan ini tidak mendekatinya langsung!

Kebanyakan pemilik haiwan peliharaan mengalami kesukaran apabila mereka mahu menukar jenis pasir kucing kepada jenis kristal mahupun palet.

kucing litter box
Kredit: The Spruce

Menurut Preventive Vet, kucing lebih memilih pasir halus yang memiliki tekstur seperti pasir sebenar berbanding dengan pasir kucing jenis kasar, berbatu dan memiliki bau-bauan.

Oleh itu, pasir kucing jenis tidak berbau dan halus merupakan pilihan yang selamat, sama ada ia memiliki formula gumpalan seperti tanah liat klasik ataupun formulasi kristal yang terasa seakan-akan pasir.

2. Kotak kencing terlalu kecil

Masalah ini sering dihadapi bagi kucing yang memiliki anggota badan yang panjang. Apabila dinding kotak tersebut lebih rendah dari badan mereka, haiwan tersebut tidak dapat membuang air kecil pada sasaran yang sepatutnya.

Air kencing tersebut mungkin berciciran di luar kotak, sama ada di atas lantai rumah ataupun dinding rumah. Selain itu, saiz badan kucing juga tidak mengizinkannya untuk membuang air kecil dan besar di dalam kotak dengan selesa.

Berita baiknya, terdapat pelbagai litter box dijual mengikut saiz dan ketinggian kucing di pasaran. Jika kucing anda semakin ‘memanjang dan melebar’, cari kotak yang memiliki dinding yang lebih tinggi dan ruangan yang lebih luas.

Jika anda menggunakan litter box jenis tertutup, buang penutup bagi memberikan keselasaan kepada kucing dewasa untuk melepaskan hajat dengan lebih selesa.

litter box kucing
Gambar hiasan | Kredit: The Spruce

Kalau semua pilihan tidak berfungsi dengan baik, tibalah masa anda untuk menyelesaikan masalah ini secara DIY. Cari kota plastik yang besar seperti laci plastik yang memiliki lebih banyak variasi saiz dan bersesuaian dengan saiz kucing anda.

3. Tidak dapat masuk dan keluar dari ‘litterbox’

Seperti manusia, kudrat kucing tua sangat terhad disebabkan faktor usia. Kucing berusia, khususnya yang menghidapi arthiris mungkin mengalami kesulitan untuk masuk dan keluar dari litter box biasa.

Bagi memudahkan kehidupan kucing ‘pencen’, kebanyak jenama mula mengeluarkan kotak yang memiliki bahagian lebih rendah.

litter box kucing
Gambar hiasan | Kredit: Chewy

Bahagian ini memudahkan kucing berusia, termasuklah kucing yang mengalami kecederaan untuk masuk dan keluar dari kotak dengan mudah.

4. Kucing juga mahukan ‘privasi’

Mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan ‘litter box’ mungkin satu perkara yang memenatkan. Seperti manusia, kucing juga inginkan privasi untuk membuang air kecil ataupun besar.

Mereka tidak akan membuang air kecil dan biasa di kawasan yang sering dilalui manusia. Bayangkan setiap kali hendak membuang hajat, mesti ada manusia yang menonton dan merekod gerak geri kucing tersebut.

Oleh sebab itu, meletakkan litter box di kawasan yang sibuk bukanlah satu idea yang baik. Sebaiknya, pilih kawasan yang sunyi, jauh dari gerak geri manusia pada masa yang sama, memiliki pandangan yang luas.

Kucing tidak suka diterjah ketika membuang, pada masa yang sama ia mahu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Dalam pada itu, haiwan berbulu ini juga tidak akan membuang air kecil dan besar berdekatan dengan tempat makannya. Para veterinar menasihatkan pemilik kucing agar memisahkan antara tempat makan dengan tempat membuang air kecil dan besar.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Secara idealnya, lokasi terbaik untuk meletakkan litter box adalah pada penjuru bilik yang sunyi. Walau bagaimanapun, pemilik kucing boleh melakukan ujikaji di beberapa ruangan rumah bagi menentukan tempat yang sesuai untuk meletakkan kotak ini.

BACA: Rupanya Ini Sebab Serangga Mudah Tertarik Dengan Cahaya Lampu

Sumber: Life Hacker

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma