Siakap Keli
dharma raj
Gambar: Bernama

Dharma Raj Ditawar Kerakyatan Indonesia

DHARMA RAJ DITAWAR KERAKYATAN INDONESIA

PHNOM PENH, 14 Mei (Bernama) — Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara Muhammad Dharma Raj Abdullah mendedahkan beliau ditawarkan kewarganegaraan Indonesia bagi meneruskan usaha membangun dan memajukan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita republik itu.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia merangkap pengendali kedua-dua skuad hoki dalam dewan serta padang lelaki dan wanita negara itu berkata, tawaran tersebut dibuat Federasi Hoki Indonesia sebelum Sukan SEA 2023 di sini bermula.

Menurut Muhammad Dharma yang lebih mesra disapa Dharma Raj, tawaran menjadi warganegara Indonesia itu sedang dinilai daripada pelbagai sudut secara teliti, memandangkan ia melibatkan beberapa keputusan penting seperti melepaskan status kerakyatan Malaysia.

“Melepaskan kerakyatan Malaysia adalah salah satu yang harus difikirkan sebaik-baiknya, kalau saya memilih menjadi warganegara Indonesia saya perlu lepaskan taraf kerakyatan Malaysia.

“Sebenarnya saya sudah memaklumkan kepada keluarga, tetapi isteri dan anak saya tak nak jadi (warganegara Indonesia), mereka ingin kekal tinggal di Malaysia, tetapi Malaysia ke Indonesia hanya dua jam menaiki pesawat,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu kepada Bernama, di sini.

Dharma Raj berkata rasa cinta terhadap keluarga hoki Indonesia yang menerimanya selepas kontrak bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tamat pada Disember 2019, mendorong beliau mempertimbangkan tawaran yang diberi.

Beliau memutuskan untuk tidak memohon kembali jawatan sebagai jurulatih skuad hoki wanita negara kerana berasa seperti diaibkan susulan terdapat dakwaan dirinya berpaling tadah terhadap KHM.

Katanya beliau bekerja keras membalas kepercayaan yang diberi Konfederasi Hoki Indonesia untuk membangun dan memajukan hoki negara jiran itu kerana mahu melupakan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima selepas lebih 10 tahun menabur bakti kepada skuad kebangsaan.

“Pasukan hoki wilayah Jawa Barat merupakan pasukan pertama saya di sana (Indonesia) dan skuad dalam dewan lelaki dan wanita kami menang emas kejohanan seumpama Sukan Malaysia. Sekarang, pasukan kebangsaan Indonesia dibarisi separuh pemain daripada wilayah itu.

“Saya bukan mahu meninggi diri tetapi rasa hormat yang diberikan keluarga hoki Indonesia kepada saya seperti raja, orang tidak mencari masalah dengan saya di sana,” katanya.

Dharma Raj dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025 pada Mac 2021 selepas 10 bulan memegang jawatan pengarah teknikal hoki Wilayah Jawa Barat.

Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dan yang terbaharu beliau membawa pasukan dalam dewan lelaki republik itu mencipta sejarah merangkul emas sulung di Sukan SEA di sini, dengan menewaskan Malaysia di final.

Sebelum itu, pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita Indonesia menamatkan saingan Piala Asia 2022 masing-masing di kedudukan keempat dan naib juara, manakala skuad hoki padang lelaki dan wanita Indonesia pula akan beraksi di Sukan Asia 2023.

Bersama Malaysia pula, antara kejayaan diraih Dharma Raj bersama Malaysian Tigress ialah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Beliau juga pernah membawa pasukan hoki remaja lelaki kebangsaan meraih tempat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'