Siakap Keli

Gara-gara Ibu bapa Tak Belajar Urus Kewangan, Anak-anak Menanggung Padah

Sudah menjadi impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga untuk memiliki cahaya mata. Kata orang, dengan kehadiran anak, rumah tangga yang dibina akan bertambah seri.

Ada juga yang berkata anak-anak ialah pembawa rezeki. Semakin bertambah bilangan cahaya mata, maka bertambah jugalah rezeki seisi keluarga.

Namun, hakikat dan realiti tidaklah semudah itu. Benar, anak itu pembawa rezeki tetapi pada masa yang sama anak juga ialah tanggungjawab dan amanah besar untuk suami isteri.

“Jika anak itu pembawa rezeki, terlebih dahulu apa rezeki yang kita usahakan untuk anak-anak setiap hari?’’ adalah pertanyaan yang wajar untuk kita bertanya diri sendiri pada setiap hari.

Tanpa perancangan yang tepat, ada yang berdepan pelbagai onak dan duri terutamanya dari segi kewangan seiring bertambahnya ahli keluarga. Lebih malang, anak-anak yang sepatutnya dibesarkan dengan sempurna terpaksa menanggung kesusahan hidup yang tidak diduga.

Tidak kurang juga yang melihat anak-anak sebagai pelaburan masa hadapan. Apabila sudah tua nanti, ibu bapa bolehlah berehat dengan tenang dan menunggu anak memberi duit perbelanjaan tiap-tiap bulan. Bila ramai anak, maka banyaklah ‘pendapatan’ ibu bapa di usia tua.

Selain itu, pernah juga timbul isu ibu bapa memaksa atau menggunakan nama anak untuk membuat pinjaman — sama ada mahu membeli rumah ataupun menukar kereta baharu; dan tanggungjawab melunaskan pinjaman itu diserahkan bulat-bulat kepada anak tanpa kerelaan mereka.

Mahu tak mahu, anak terpaksalah mengikat perut mendahulukan bayaran pinjaman untuk orang tua sehingga keperluan rumah tangga sendiri terabai. Bukan apa, takut digelar anak derhaka pula kalau membantah. Akibatnya, mereka tak mampu merancang masa depan dan membuat simpanan sendiri bagi menghadapi waktu gawat yang tidak menentu.

Mentaliti berpunca daripada tiada perancangan masa depan

Kenapa situasi di atas berlaku? Salah satunya berpunca daripada mentaliti ibu bapa yang tiada perancangan kewangan masa hadapan.

Tanpa kewangan yang kukuh sebagai bekalan untuk hari persaraan, ibu bapa yang sudah berumur sebenarnya tidak mampu lagi menjana apa-apa sumber pendapatan. Sikap suka berjoli di usia muda dan ketiadaan tabungan yang mencukupi untuk hari tua, boleh mendorong ibu bapa untuk meminta bantuan ‘berlebihan’ dan ‘keterlaluan’ melebihi kemampuan kewangan anak-anak.

Tonton video dibawah untuk mengetahui tahap kewangan anda.

Malangnya, sebahagian besar daripada pencarum mungkin berdepan dengan masalah di kemudian hari jika mengambil kira jumlah simpanan KWSP semasa mereka.

Menurut laporan, kira-kira 6.7 juta atau 51 peratus ahli KWSP di bawah usia 55 tahun memiliki baki simpanan di bawah RM10,000. Penurunan mendadak jumlah simpanan tersebut antaranya berpunca daripada kebenaran pengeluaran khas yang diberikan oleh kerajaan dalam tempoh pandemik lalu.

Amaun ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun. RM42 itu bersamaan dengan RM1.40 sehari.

Empat pengeluaran khas yang diberikan sebelum ini juga menyebabkan berlaku penurunan drastik peratusan ahli aktif yang mencapai simpanan asas ((RM240,000 pada usia 55 tahun). Berbanding 36 peratus pada 2020, angka berkenaan turun kepada 29 peratus pada 2022.

Keadaan itu menyebabkan 71 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli aktif KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah berdepan dengan situasi getir kerana simpanan mereka tidak cukup untuk persaraan.

Menurut KWSP, paras simpanan ideal untuk hidup dengan selesa di bandar selepas persaraan adalah RM600,000 sehingga RM1,000,000Sudah tentu, tiada masalah untuk anak-anak memberi wang belanja untuk ibu bapa, apatah lagi ia adalah tanda penghargaan ke atas penat-lelah mereka membesarkan kita semua.

Namun, bantuan kewangan yang diberikan sepatutnya sekadar kemampuan anak-anak seperti menyediakan keperluan harian seperti makan dan minum, serta membantu membayar bil-bil utiliti ataupun bil perubatan.

Tidak adil jika anak-anak dibebankan dengan komitmen yang bukan-bukan seperti membayar hutang bank, memandangkan anak-anak juga mungkin mempunyai komitmen bank yang tersendiri.

6.7 juta ahli KWSP hanya miliki baki simpanan bawah RM10,000

Selain tabungan peribadi, rata-rata warga Malaysia juga bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dibelanjakan pada usia emas.

8.1 juta ahli KWSP keluarkan simpanan dibawah pengeluaran khas

Berbalik kepada pengeluaran khas, menurut KWSP, 8.1 juta ahlinya yang berusia 55 tahun ke bawah membuat sekurang-kurangnya satu daripada empat pengeluaran khas yang dibenarkan.

Pengeluaran tersebut, walaupun sekali sudah cukup untuk ‘menyakitkan’ simpanan mereka, apatah lagi jika mereka melakukan keempat-empat pengeluaran khas sebelum ini.

Daripada 8.1 juta tersebut, kira-kira 4 peratus atau 300,000 ahli KWSP sudah pun mencapai usia persaraan 55 tahun dan ke atas pada Januari lepas. Jadi, mereka telah terlepas peluang untuk memulihkan kembali tabungan persaraan mereka yang telah terjejas itu.

Jika seseorang pesara itu memerlukan minimum sebanyak RM1,500 sebulan untuk kelangsungan hidup, mereka memerlukan kira-kira RM 180,000 untuk tempoh 10 tahun selepas usia persaraan.

Persoalannya, dengan simpanan yang sudah terjejas dan tidak sempat memulihkan tabungan, cukupkah baki simpanan yang ada?

Baki 7.8 juta masih berusia di bawah 55 tahun

Manakala baki 7.8 juta ahli KWSP yang terlibat dalam pengeluaran khas pula adalah mereka yang berusia di bawah 55 tahun.

Menurut KWSP, jumlah caruman keseluruhan dalam tempoh kira-kira 8 bulan selepas pengeluaran khas terakhir Mei tahun lepas melibatkan kira-kira 4.6 juta ahli itu adalah kira-kira RM26.1 bilion.

Dan, 3.1 juta ahli masih belum memulakan pemulihan tabungan KWSP mereka dan jumlah simpanan semasa mereka kekal di paras kritikal. Menurut KWSP lagi, paras median simpanan kumpulan ini adalah RM890.

Anda di kumpulan yang mana?

Berdasarkan data-data di atas dan jika anda terlibat dalam pengeluaran khas, apakah situasi anda sekarang dan berapa banyakkah simpanan KWSP semasa yang anda ada?

Sempatkah anda memulihkan kembali tabungan sebelum usia persaraan tiba atau adakah anda sebahagian daripada 300,000 ahli yang sudah mencapai usia persaraan pada Januari lepas?

Kredit: BERNAMA

Jika ya, apakah perancangan untuk masa depan selepas usia persaraan nanti? Persoalan-persoalan ini kami tinggalkan untuk anda kerana anda semua ada jawapan masing-masing.

Bersiap sedialah untuk usia tua anda, jangan jadi beban kepada anak-anak

Bagi mereka yang masih berpeluang untuk memulihkan tabungan persaraan dalam KWSP, usah bertangguh dan teruskan caruman anda.

Buat persedian dari awal supaya anda tidak perlu bergantung kepada sesiapa apabila anda lanjut usia kelak.

Untuk maklumat lanjut berkenaan simpanan hari tua, anda boleh layari laman web dan jangan lupa mengikuti KWSP di laman Facebook, Twitter serta Instagram.


Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.