- Pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah YDPA Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuatkuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
- Dalam hal ini, adalah ditegaskan bahawa KDN komited dalam urusan mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/ Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.
- Untuk makluman, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah. Ini kerana, fungsi Mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik. Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa Hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014. Bersangkutan dengan hal ini, keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis; tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan Mahkamah.
- Sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986. Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuatkuasa.
- KDN lebih memfokuskan kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kebebasan beragama tersebut tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.
- Di kesempatan ini, KDN ingin menyatakan komitmen terhadap pencegahan penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
- KDN sekali lagi menegaskan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/ Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.
- Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan di atas atau mana mana penerbitan yang dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.