Siakap Keli
empat kanak-kanak pesawat terhempas
Gambar: Twitter / AFP

Empat Kanak-kanak Mangsa Pesawat Terhempas Dipercayai Masih Hidup

Empat Kanak-kanak Mangsa Pesawat Terhempas Dipercayai Masih Hidup

Empat kanak-kanak termasuk bayi berusia 11 bulan yang merupakan mangsa pesawat terhempas dipercayai masih hidup di dalam hutan tebal di selatan Caqueta, Columbia.

Kesemua mangsa yang berasal daripada komuniti orang asli adalah sebahagian daripada penumpang pesawat yang terhempas lebih dua minggu lalu. Berita gembira berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Presiden Columbia,  Gustavo Petro melalui Twitternya pada Rabu.

Sebelum ini, Columbia mengerah kira-kira 100 anggota penyelamat bagi mencari keempat-empat kanak-kanak tersebut yang dilapor ‘hilang’ dari pesawat yang terhempas pada 1 Mei lepas.

Ketika kejadian, mereka menaiki pesawat tersebut bersama tiga orang dewasa yang kesemuanya terkorban.

Pasukan penyelamat percaya, kanak-kanak yang berusia 13, 9 dan 4 tahun termasuk bayi tersebut telah bergerak di dalam hutan sejak terselamat daripada insiden berkenaan.

Empat kanak-kanak mangsa pesawat terhempas ditemui masih hidup

Pada awal Rabu, usaha mencari dan menyelamat menemui petunjuk baharu apabila sebuah pondok yang dibina menggunakan kayu-kayan ditemui di dalam hutan.

Dengan penemuan berkenaan, pasukan penyelamat percaya ada beberapa individu terselamat daripada insiden pesawat terhempas itu.

Menerusi gambar-gambar yang didedahkan oleh pasukan penyelamat, terdapat beberapa barang milik kanak-kanak seperti getah pengikat rambut dan gunting ditemui. Sebelum ini, mereka juga menemui botol susu bayi dan sisa buah yang sudah dimakan berdekatan tapak kemalangan.

Terdahulu pada Isnin dan Selasa, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat tiga penumpang dewasa termasuk Ranoque Mucutuy, ibu kepada empat kanak-kanak tersebut.

Pesawat malang berkenaan terhempas ketika mereka semua dalam perjalanan dari satu lokasi di dalam hutan menuju San Jose del Guaviare, salah satu bandar Columbia berdekatan dengan Hutan Amazon.

Mucutuy merupakan wanita yang berasal daripada komuniti orang asli etnik Huitoto.

Pasukan penyelamat berdepan kesulitan sejak operasi menyelamat dilancarkan ekoran keadaan hutan yang tebal, hujan lebat dan juga ancaman hidupan liar. Malah, usaha mengesan lokasi nahas dari udara juga sukar akibat pemandangan dibatasi pokok-pokok yang menjangkau ketinggian 40 meter.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut melibatkan penyertaan tiga buah helikopter. Salah sebuah helikopter tersebut digunakan untuk memancarkan mesej suara nenek kepada empat kanak-kanak tersebut yang direkodkan dalam bahasa etnik Huitoto.

Mesej suara itu antara lain meminta keempat-empat kanak-kanak tersebut berhenti bergerak di dalam hutan tersebut bagi memudahkan usaha menyelamat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Columbia setakat ini tidak mendedahkan punca kemalangan pesawat ringan jenis Cesna berkenaan.

Menurut AFP, juruterbang pesawat malang tersebut sempat melaporkan masalah teknikal melibatkan enjin beberapa minit sebelum pesawat tersebut dilapor hilang dari radar.

BACA: Bos Baik Hati, Staff Boleh Buat Pinjaman Syarikat “0% Interest” Beli Tiket Konsert Coldplay

Sumber: AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.