Siakap Keli
tiket sabah rm300
Gambar: BERNAMA

Lebih 17,000 Tiket Penerbangan Sehala Ke Sabah, Sarawak Ditawar Pada Harga Maksimum RM300 – Loke

Lebih 17,000 Tiket Penerbangan Sehala Ke Sabah, Sarawak Ditawar Pada Harga Maksimum RM300 – Loke

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Sebanyak 17,708 tiket penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak dijual pada harga maksimum RM300 sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata harga istimewa itu ditawarkan oleh semua syarikat penerbangan dalam negara untuk tempoh perjalanan pada 27, 28 dan 29 Mei ke Sabah manakala 29, 30 dan 31 Mei ke Sarawak.

“Pengguna masih boleh membeli tiket pada harga yang lebih rendah sekiranya harga tiket asal tersebut kurang daripada RM300.

“Kerajaan beli (sebanyak 17,708 tiket) daripada syarikat-syarikat penerbangan dan kita jual semua pada harga diskaun iaitu maksimum RM300,” katanya pada sidang media selepas melepas Majlis Hari Raya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di Stesen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Loke, projek rintis itu bertujuan menyelesaikan masalah harga tiket penerbangan yang mahal ketika musim perayaan dan sekiranya berjaya, ia akan dibentangkan kepada Kabinet agar boleh dijadikan inisiatif berterusan.

Loke berkata harga maksimum itu tidak termasuk cukai dan fi namun dengan pembelian tiket berkenaan pengguna akan dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Beliau berkata anggaran keseluruhan bagi bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh penawaran adalah antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta.

Menurut Loke berikutan tiket penerbangan laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai habis dijual, syarikat Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan carter dengan kekerapan sekali sehari pada 29, 30 dan 31 Mei.

Sementara itu, Loke berkata sebanyak 10,744 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan 499,323 tiket KTM Intercity terjual sehingga 9 malam semalam daripada 4.4 juta tiket yang ditawarkan bagi perjalanan Julai sehingga Disember 2023.

Katanya jualan tiket yang bermula 15 Mei lepas itu juga melibatkan tarikh hari perayaan negara seperti Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Deepavali, Krismas selain cuti sekolah.

“(Sebanyak) 2,043 tiket bagi dua perkhidmatan ETS tambahan untuk laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya untuk perjalanan 26 Mei hingga 5 Jun sempena cuti sekolah penggal pertama dan cuti umum juga telah terjual.

“Ini membuktikan rakyat Malaysia menggunakan serta menghargai pengangkutan awam yang disediakan kerajaan, terutama perkhidmatan yang disediakan KTMB yang selamat dan selesa untuk ke destinasi masing-masing,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa merancang perjalanan.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.