Kadar had maksimum kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun ditingkatkan daripada tidak melebihi RM300 kepada tidak melebihi RM500 bermula 1 Januari 2029.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan bahawa peningkatan had maksimum tersebut tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun sebanyak RM500 secara automatik.
Bagaimanapun, amaun kompaun yang ditawarkan adalah tertakluk kepada jenis kesalahan serta kaedah-kaedah yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Dalam pada itu, tempoh peralihan pada 1 Januari 2029 itu juga untuk memberikan tempoh peralihan yang mencukup kepada pengguna jalan raya.
“Penetapan tarikh ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan yang telah dinyatakan semasa pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Parlimen,” kata MOT dalam satu kenyataan.
MOT turut menegaskan langkah berkenaan bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang serta memberikan kesan pencegahan lebih berkesan kepada pengguna jalan raya.
Dalam kenyataan sama, MOT memaklumkan bahawa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] mula berkuat kuasa pada hari ini, 16 Oktober 2026.

Menurut kementerian itu, pindaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan jalan raya.
Selain itu, ia juga untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Selain peningkatan had maksimum kompaun, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 turut merangkumi beberapa penambahbaikan utama.
Antaranya termasuk pengenalan kesalahan berlumba atau mengadakan dugaan kelajuan di jalan raya, dengan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 bagi sabitan pertama.
Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Selain itu, Seksyen 110B turut diperkenal bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk perbuatan mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi bagi membantu pihak tertentu mengelak tindakan undang-undang.
Kesalahan berkenaan boleh membawa denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya serta turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Dalam pada itu, penguatkuasaan berasaskan teknologi turut dilaksana menerusi Pindaan Seksyen 53B bagi memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar terhadap kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan, termasuk sistem penguatkuasaan automatik.
Pindaan itu bertujuan menutup kelompongan undang-undang yang membolehkan pihak tertentu mengelakkan tanggungjawab terhadap kesalahan menggunakan kenderaan mereka.
Pindaan itu turut memperluas pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis secara elektronik.
“Pindaan kepada beberapa peruntukan bagi memperkukuh asas perundangan penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis secara elektronik.
“Ini termasuk memudahkan urusan pelesenan kenderaan dan pemandu serta membuka ruang kepada kaedah pelaporan kemalangan secara digital, tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan,” jelasnya.
Pindaan berkenaan bertujuan memperkukuh kawal selia keselamatan kenderaan motor, termasuk kenderaan elektrik, kenderaan diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti.
Peruntukan berkaitan kenderaan rentas sempadan turut diperkukuh bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kenderaan yang melanggar keperluan undang-undang atau mempunyai perkara tertunggak.
Akta itu turut mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemalsuan rekod, dokumen dan maklumat kenderaan di bawah Seksyen 108.
“Ini termasuk kegiatan yang berkaitan dengan kenderaan klon serta manipulasi identiti kenderaan.
“Bagi kesalahan tertentu, hukuman boleh mencecah denda RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

