Hampir 10 tahun selepas diumumkan, Tesla Roadster generasi baharu akhirnya diperkenalkan dengan keupayaan terbang yang dipaparkan menerusi beberapa video di Instagram rasmi Tesla.
Dalam satu video, kereta elektrik itu dilihat bergerak di sepanjang tanjakan berbentuk huruf C sebelum meluncur ke udara dan mendarat dengan selamat.
Dalam video lain, Roadster terbang melepasi dua buah kereta dan sebuah kepala lori yang diletakkan sebaris.
Lebih menarik, kereta itu melakukan aksi seperti kickflip ketika melintasi ketiga-tiga kenderaan tersebut sebelum kembali mendarat.
Menurut Tesla, Roadster generasi baharu dilengkapi kipas khas dan sayap aerodinamik aktif untuk meningkatkan kestabilan, selain sistem pendorong gas sejuk yang membantu mengawal pergerakannya ketika berada di udara.
Tesla Perkenal Roadster Baharu, Sebuah Kereta Boleh Terbang

Bahagian Luaran
Dari segi penampilan, Roadster generasi baharu menggunakan reka bentuk minimalis dengan lampu hadapan tersembunyi, lampu belakang memanjang dan permukaan badan yang licin.
Rodanya pula direka dengan jejari nipis bagi mengurangkan berat keseluruhan kereta tanpa mengabaikan kekuatan strukturnya.
Bukan itu sahaja, kereta ini menggunakan cat putih khas berteknologi aeroangkasa yang membantu melindungi permukaannya daripada sinaran ultraungu (UV), suhu ekstrem dan kakisan.
Penampilannya dilengkapkan dengan kaca berwarna keemasan yang diinspirasikan daripada lapisan pelindung pada visor topi keledar angkasawan, selain aksen titanium untuk memberikan sentuhan lebih eksklusif.

Bahagian Dalaman
Beralih ke ruang kabin, Tesla memilih kemasan putih dengan perincian mikrosuede kelabu pada tempat duduk bagi memberikan penampilan moden serta cengkaman tambahan ketika pemanduan.
Menariknya, penggunaan kawalan manual dan kedudukan tempat duduk yang tetap turut membantu mengurangkan berat keseluruhan kenderaan.
Bagi menjadikannya lebih ringan, Tesla turut menggunakan bahan berkekuatan tinggi seperti magnesium, titanium dan gentian karbon pada beberapa bahagian kereta.
Gabungan bahan dan reka bentuk tersebut membolehkan Roadster memberikan tindak balas terhadap kawalan pemandu dalam tempoh yang sangat singkat.

Teknologi Di Sebalik Keupayaan Terbang
Jika dilihat pada teknologi yang digunakan, Roadster bukan sekadar bergantung pada reka bentuk luarannya untuk menghasilkan prestasi luar biasa.
Menurut Tesla, sistem kipas pelbagai mod bersama mekanisme pengedap di bahagian bawah kereta mampu menyedut udara dari bawah badan kenderaan sehingga menghasilkan daya sedutan yang cukup kuat untuk menahannya dalam keadaan terbalik ketika tidak bergerak.
Pada masa sama, kipas berkuasa dan sayap aerodinamik aktif membantu menghasilkan daya yang menekan kereta ke permukaan jalan, sekali gus meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.
Bagi pergerakan di udara pula, Roadster dilengkapi sistem pendorong gas sejuk yang dikawal menggunakan penggerak elektrik untuk membuat pelarasan kecil dengan pantas.
Teknologi itu dikatakan membantu menstabilkan kedudukan kereta ketika berada di udara, sekali gus menjadi antara ciri utama yang membezakan Roadster generasi baharu daripada kereta elektrik biasa.

