Siakap Keli
Malaysia piala sudirman
Kredit BAM

Malaysia Berjaya Mara Ke Separuh Akhir Piala Sudirman, Jinakkan Denmark 3-1

Malaysia Berjaya Mara Ke Separuh Akhir Piala Sudirman, Jinakkan Denmark 3-1

Skuad badminton negara berjaya mara ke separuh akhir Piala Sudirman selepas mengalahkan Denmark dengan keputusan 3-1.

Perlawanan suku akhir Piala Sudirman BWF 2023 itu berlangsung di Suzhou, Republik China. Skuad negara bersaing bagi merebut tempat ke separuh akhir pada acara berpasukan badminton campuran.

Perlawanan dimulakan dengan aksi beregu campuran negara yang terpaksa berhempas pulas bermain untuk tiga set sebelum akhirnya kemenangan berpihak kepada mereka.

Chen Tang Jie bersama rakan regunya Toh Ee Wei berjaya menumpaskan pasangan dari Denmark dengan keputusan 15-21, 21-14, 21-7.

Skuad badminton seterusnya berjaya menjarakkan kedudukan selepas pemain perseorangan kebangsaan Lee Zii Jia dihadiahkan dengan kemenangan selepas pemain perseorangan nombor 1 dunia iaitu Viktor Axelsen terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Skuad badminton kebangsaan sedikit goyah selepas perseorangan wanita negara Goh Jin Wei tunduk kepada pemain Denmark Mia Blichfeldt dengan keputusan 21-14, 15-21, 21-19 walaupun telah berhempas pulas mencuba yang terbaik.

Namun begitu, skuad badminton kembali ceria selepas beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya memberikan mata ketiga buat skuad badminton negara.

Kemenangan itu sekali gus berjaya membawa Malaysia ke peringkat seterusnya iaitu separuh akhir.

Dua negara yang terlebih dahulu mara ke separuh akhir ialah Korea Selatan dan Jepun. Korea mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Taipei manakala Jepun mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Thailand.

Untuk makluman, pasukan badminton negara berjaya mara ke separuh akhir pada temasya kali ini dan ia merupakan kali ketiga selepas temasya pada 2009 dan 2021 yang lalu.

BACA: Comelnya, Yang Lain “High 5”, Giliran Coach Rosman Semua Minta ‘Berkat’ Kat Perut

Terdahulu, skuad badminton negara muncul cemerlang selepas berjaya menjadi juara kumpulan pada aksi terakhir Kumpulan C.

Skuad badminton negara bergaya mengalahkan Taiwan dengan mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas negara tersebut.

Memetik Astro Awani, kemenangan ke atas Taiwan itu telah memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan yang menjadi juara kumpulan. Skuad negara tidak akan bertemu dengan juara kumpulan yang lain dalam undian ke suku akhir.

Sumber: Badminton Association of Malaysia via Twitter, Olympics, Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.