Siakap Keli
singapore airlines bonus lapan bulan
Gambar: Singapore Airlines

Singapore Airlines Umum Bonus Lapan Bulan Gaji Untuk Kakitangan

Singapore Airlines Umum Bonus Lapan Bulan Gaji Untuk Kakitangan

Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) mengumumkan berita gembira apabila bakal mengagihkan bonus sebanyak lapan bulan gaji kepada kakitangannya yang layak.

Bonus lapan bulan gaji itu merangkumi bonus perkongsian untung sebanyak 6.5 bulan dan bonus ex-gratia sebanyak 1.5 bulan.

Menurut laporan CNA, pemberian bonus berkenaan susulan kejayaan SIA mencatatkan keuntungan luar biasa sepanjang tahun lepas.

“Bonus yang diumumkan ini berdasarkan formula perkongsian bonus keuntungan tahunan yang dipersetujui bersama dengan kakitangan kami,” kata SIA.

Bonus lapan bulan gaji oleh Singapor Airlines sebagai penghargaan kepada kakitangannya

SIA pada Selasa mengumumkan syarikat mencatatkan keuntungan tahunan kira-kira S$2.16 bilion (RM7.29 bilion) untuk tahun kewangan 22/23, selepas kerugian selama tiga tahun berturut-turut.

Keuntungan tersebut juga menyaksikan syarikat berkenaan merekodkan pemulihan daripada kerugian bersih RM 3.12 bilion pada tahun lepas.

SIA berkata, pemintaan kukuh mendorong kepada penambahan pendapatan, keuntungan operasi dan peningkatan bilangan penumpang.

Mengulas lanjut berkenaan bonus ex-gratia yang diberikan, jurucakap SIA berkata, setiap kakitangan SIA akan menerima bonus ex-gratia 0.5 bulan bagi tempoh tiga tahun kewangan terdahulu. Secara keseluruhan mereka menerima bonus ex-gratia 1.5 bulan pada tahun ini.

“Pengurusan senior bagaimanapun tidak akan menikmati bonus ex-gratia tambahan ini,” tambah jurucakap berkenaan.

Bonus ex-gratia merujuk kepada bonus yang diberikan atas budi bicara syarikat dan bukan bonus yang wajib diberi berdasarkan peruntukan undang-undang.

Menurut SIA, bonus berkenaan sebagai tanda pengiktirafan ke atas ”dedikasi, kerja keras dan pengorbanan, termasuk pemotongan gaji sepanjang pandemik” kakitangan-kakitangan SIA.

Selain itu, ia juga sebagai simbol kejayaan tranformasi syarikat selama tiga tahun yang berjaya meningkatkan tahap kompetitif dan mengukuhkan asas untuk masa depan.

Bagaimanapun, SIA tidak mendedahkan amaun sebenar bonus yang bakal dinikmati oleh setiap kakitangannya. Setakat ini, syarikat penerbangan berkenaan dipercayai mempunyai kira-kira 24,000 kakitangan.

Terdahulu, Emirate Airlines turut mengumumkan bonus enam bulan gaji kepada kira-kira 100,000 kakitangannya.

Dalam laporan Siakap Keli sebelum ini, berita gembira itu dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi dan Ketua Eksekutif Emirates Airline and Group,  Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum.

BACA: Emirates Umum Bonus 6 Bulan Gaji Kepada Semua Pekerjanya

Sumber: CNA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.