Siakap Keli
Emirates bonus 6 bulan gaji
Kredit Khaleej Times

Emirates Umum Bonus 6 Bulan Gaji Kepada Semua Pekerjanya

Emirates Umum Bonus 6 Bulan Gaji Kepada Semua Pekerjanya

Kurang daripada 24 jam selepas mengumumkan keuntungan syarikat, Emirates Group menjanjikan akan memberi bonus enam bulan kepada lebih 100,000 pekerjanya.

Memetik Khaleej Times, Emirates enggan mengulas mengenai perkara itu, bagaimanapun beberapa kakitangannya telah mengesahkan pengumuman tersebut.

Mereka mengatakan bahawa sudah menerima emel yang mengesahkan insentif tersebut.

Menurut emel itu, Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Emirates Airline and Group menulis mengenai prestasi hebat pekerjanya.

Beliau kemudian menulis bahawa semua pekerjanya “layak menerima bonus 24 minggu yang akan dimasukkan bersama gaji bulan Mei mereka.”

Dalam kenyataannya pada Khamis, Sheikh Ahmed memuji kerja keras semua pekerjanya.

“Kami telah berjaya mencapai rekod prestasi kewangan dan baki tunai untuk tahun kewangan 2022-2023 kami.

“Ini mencerminkan kekuatan model perniagaan kami yang terbukti, perancangan ke hadapan kami yang teliti, kerja keras semua pekerja kami, dan perkongsian kukuh kami merentas ekosistem penerbangan dan perjalanan.” katanya.

Dalam emelnya kepada pekerja, Sheikh Ahmed turut menasihatkan mereka untuk menggunakan wang tambahan itu mengikut kehendak mereka.

“Melaburnya dengan bijak, simpan atau belanjakan dengan baik dan nikmati hasil kerja keras anda,” tulisnya menerusi emel tersebut.

Sementara itu, katanya bayaran akan berbeza-beza bergantung kepada gaji pokok setiap pekerja.

“Setiap pekerja akan mendapat 24 minggu atau 6 bulan gaji pokok mereka,” kata seorang pekerja yang tidak mahu namanya didedahkan.

Ramai yang menzahirkan rasa gembira dan lega selepas mendapat berita tersebut

“Ia bukan hanya mengenai wang. Covid adalah salah satu masa yang paling sukar bagi kami. Rasanya seperti kehidupan telah terhenti tetapi sekarang, untuk mengubahnya dan mencapai kedudukan ini terasa hebat.” kata seseorang.

Pada hari Khamis juga, Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE telah memuji pencapaian itu.

“Ini adalah tahun paling menguntungkan pernah berlaku, berikutan salah satu krisis global terburu yang dialami oleh sektor penerbangan dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Emirates Airlines mewakili semangat Dubai. Masa krisis ini menjadikan kami lebih kuat, dan setiap tahun yang berlalu mengukuhkan lagi azam kami untuk kekal di barisan hadapan di seluruh dunia,” tulis kenyataan itu di Twitter.

BACA: Dubai Bakal Bina Masjid Cetakan 3D Pertama Di Dunia

Kedua-dua Emirates dan dnata menyaksikan peningkatan hasil yang ketara pada 2022-23 apabila kumpulan itu mengembangkan pengangkutan udara dan operasi mereka.

Baki tunai kumpulan itu dilaporkan bernilai USD 11.6 bilion, jumlah tertinggi pernah dilaporkan.

Sumber: Khaleej Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka