Siakap Keli
Muhammad Hawari
Kredit BERNAMA

Pendaki Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari, Dikhuatiri Hilang

Pendaki Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari, Dikhuatiri Hilang

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Perkara itu disahkan Ketua Misi Ekspedisi Azim Afif Ishak ketika dihubungi Bernama TV dan operasi pencarian masih dijalankan.

Muhammad Hawari, 33, merupakan OKU pendengaran, dipercayai hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Khamis.

Azim Afif berkata, setakat ini Hawari masih belum dijumpai dan pendaki OKU itu sudah hilang hampir 24 jam.

Beliau berkata kali terakhir Hawari berjaya dihubungi ketika pendaki itu berada di Kem 4.

Dalam pada itu, menurut laporan media Nepal The Himalayan Times yang memetik kenyataan pengendali ekspedisi Pengarah Pioneer Adventure Nivest Karki, Hawari telah hilang sejak Jumaat dan usaha pencarian masih dijalankan.

Hawari merupakan pendaki kumpulan pertama ke puncak Everest bersama pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Bagaimanapun, Awang Askandar, 56, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak gunung Everest.

Sementara itu, seorang lagi peserta pendakian Ayu Wanirah Naharuddin, 30, berkata pasukan itu dalam usaha untuk mencari Muhammad Hawari melalui pemantauan udara, dengan menggunakan helikopter yang disewa khas.

Ayu Wanirah berkata ketika ini Azim Afif dan Sherpa Pioneer Adventure bernama Ngaa Tenji, masih berusaha mengesan Muhammad Hawari di sepanjang laluan yang biasa digunakan oleh pendaki.

“Dengan menggunakan helikopter, pencarian di sepanjang laluan pendakian itu dapat dilakukan dalam masa kira-kira 45 minit dan saya berharap Muhammad Hawari dapat ditemui dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu Ayu Wanirah berkata Muhammad Hawari dan sherpa sepatutnya berehat di Kem 4 selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.

“Saya difahamkan sherpa berkenaan telah tertidur selama kira-kira sejam kerana keletihan, namun selepas terjaga, beliau mendapati Muhammad Hawari tiada di dalam khemah dan cuba mencarinya di sekitar Kem 4, namun gagal menemukannya,” katanya.

Menurutnya sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, mereka juga telah mengupah seramai lapan orang sherpa untuk membantu mencari di Kem 1 hingga Kem 4, tetapi usaha itu masih belum membuahkan hasil.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Misi itu turut mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka