Siakap Keli
bayi dilahirkan masalah jantung
Gambar: Bernama

5,000 Bayi Dilahirkan Setiap Tahun Di Negara Ini Hidap Masalah Jantung

5,000 Bayi Dilahirkan Setiap Tahun Di Negara Ini Hidap Masalah Jantung

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Penyakit jantung merupakan salah satu penyebab kematian di Malaysia dan dianggarkan setiap tahun 5,000 bayi yang dilahirkan mempunyai masalah jantung berlubang dan kongenital di negara ini.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebanyakan pesakit juga memerlukan rawatan pembedahan jantung dengan kepakaran yang kompleks dan melibatkan kos rawatan yang mahal.

Beliau berkata berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

BACA  JUGA: Bayi Meninggal Dunia, Didakwa Kepala ‘Terputus’ Ketika Dilahirkan

“Oleh itu, bagi mengelakkan penyakit ini orang ramai dinasihatkan berusaha mencegahnya terlebih dahulu dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana perbelanjaan bagi merawat penyakit ini tidaklah murah. Di IJN (Institut Jantung Negara) sendiri saya melihat telah memberi satu sumbangan yang besar dalam menangani penyakit jantung ini.

“Selain itu diharapkan lebih banyak yayasan yang terus memberi sokongan serta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyumbang bagi membantu pesakit-pesakit ini,” katanya ketika berucap melancarkan Program Myheart Siri Ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin di IJN di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Institut Jantung Negara Foundation (IJNF) Toh Puan Dr Aishah Ong dan Pengerusi Yayasan MYPRIHATIN Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Pada majlis itu turut diadakan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yayasan MYPRIHATIN dan IJNF bagi menjalinkan kerjasama mengendali serta menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang menghadapi masalah kewangan.

Yayasan MYPRIHATIN turut memberi sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada IJNF dan menyerahkan 50 hamper kepada pesakit jantung kanak-kanak di Wad Pediatrik IJN.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?