Siakap Keli
lelaki mengaku bujang
Kredit: Pejabat Mufti wilayah Persekutuan

Lelaki Sudah Berkahwin Mengaku Bujang? Ini Hukumnya

Lelaki Sudah Berkahwin Mengaku Bujang? Ini Hukumnya

Pada zaman yang sarat dengan penggunaan media sosial, pelbagai perkara diluar jangkaan boleh berlaku disebabkan kewujudan aplikasi yang canggih.

Pun begitu, kemudahan yang diberikan pada zaman kini boleh mendorong kepada berlakunya perpecahan rumah tangga, pergaduhan kaum dan sebagainya sekiranya tidak digunakan dengan cara yang baik.

Gambar: Tangkap layar gambar tular

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pasangan yang sudah berkahwin mengaku bujang di sebuah aplikasi dating sehingga berlaku kes percurangan.

Kerosakan rumah tangga boleh terjadi sekiranya pasangan tidak berlaku jujur dalam perkahwinan dan bertindak secara sesuka hati tanpa mengetahui batas yang perlu diikut.

Namun, adakah tindakan pasangan yang sudah berkahwin mengaku bujang dibolehkan dalam Islam?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah membahaskan perkara ini menerusi artikel Al-Kafi #430 Hukum Suami Mengaku Bujang yang diterbitkan pada 4 November 2016 lalu.

Ikuti perkongsian oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini untuk mengetahui jawapannya.

BACA: Apa Hukum Berkahwin Di Bulan Syawal? Ini Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

AL-KAFI #430 : HUKUM SUAMI MENGAKU BUJANG

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz.

Saya ada satu soalan nak tanya ustaz. Ada seorang hamba Allah datang bertanya kepada saya. Ceritanya secara ringkas begini. Si isteri pulang ke kampung dengan membawa anaknya sekali. Dan semasa di airport, isteri ada bertanya kepada suami kenapa mesti memakai pakaian cantik-cantik sedangkan hanya ke airport. Dan si suami membalas dengan berkata, “Nak keluarlah sekejap lagi, kan bujang hari ini”. Tapi hakikatnya hanyalah dengan niat gurauan tanpa ada maksud begitu. Adakah kata-katanya itu sebenarnya telah terjatuh talak kepada isteri dia? Kerana ada kawan isterinya memberitahu walaupun dengan gurauan, hakikatnya telah jatuh talak.
Boleh tuan mufti jelaskan. Sangat berharap tuan mufti boleh mmberi penjelasan tentang perkara ini.

JAWAPAN:

Waalaikumusslam wbt,

Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talaq. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Kedua: Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.”

Dalam kes diatas, mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Begitulah seterusnya.

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripaad sebarang kekeliruan.

Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana