KUALA LUMPUR – Prihatin tentang perkembangan industri pelancongan serta rakyat Malaysia yang masih mencari pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Malaysia Chapter (PMC) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dalam menganjurkan PATA Malaysia MYFutureJobs Tourism Career Fair 2023.
Karnival Kerjaya sehari yang diadakan pada hari Ahad, 21 Mei 2023 di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur bertujuan menghimpunkan pencari kerja dengan kelayakan dari pelbagai disiplin dan pengalaman bersama para majikan dari industri pelancongan dan hospitaliti yang memerlukan pekerja untuk operasi perniagaan mereka.
Karnival Kerjaya ini, yang julung kalinya dianjurkan bersama di antara PERKESO, PMC and Tourism Malaysia, diharap dapat membantu mengembalikan industri pelancongan kepada era kegemilangannya sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19 pada 2019, dengan memadankan calon-calon berkualiti dengan majikan dalam ekosistem industri ini.
Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terpenting kepada ekonomi negara sehingga krisis pandemik COVID-19 melanda hingga menyebabkan industri ini paling terjejas di mana banyak pemain industri terpaksa menggulung tikar dan ramai pekerja diberhentikan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini dan penutupan sempadan negara di seluruh dunia.
Karnival Kerjaya ini telah menyasarkan penyertaan seramai 1,000 pencari kerja yang terdiri daripada pelajar lepasan sekolah, para graduan, dan pencari pekerja lain terutamanya dari industri pelancongan dan hospitaliti. Sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan oleh 28 majikan yang mengambil bahagian dalam temu duga terbuka di karnival ini. Antara majikan yang menyertai karnival termasuk Agoda Malaysia International Sdn Bhd, Sports Entertainment Asia Sdn Bhd, GEO Resort & Hotel Genting Highlands, Resorts World Genting dan Legoland Malaysia Resort.
Karnival Kerjaya ini telah dirasmikan oleh Pengerusi PMC, Datuk Musa Hj. Yusof. Sesudah acara perasmian, beliau melawat tapak karnival dan meluangkan masa bersama pencari kerja dan majikan yang menyertai karnival ini. Turut hadir adalah Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Tuan John Riba Marin.
Selain daripada Karnival Kerjaya, terdapat pelbagai aktiviti lain yang diadakan seperti pameran oleh majikan serta kaunter-kaunter klinik resume, MYFutureJobs dan kaunseling kerjaya yang dibuka kepada pencari kerja yang memerlukan perkhidmatan yang berkaitan termasuk penyediaan resume, pendaftaran Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dan juga khidmat nasihat tentang bidang pekerjaan yang sesuai.
Karnival Kerjaya ini berakhir petang semalam dengan majikan menemuduga 866 calon dan seramai 629 orang berjaya ke peringkat temu duga kedua. Kaunter-kaunter MYFutureJobs dan Kaunseling Kerjaya juga menerima bilangan pengunjung yang memberangsangkan. PERKESO komited memberi sokongan kepada industri pelancongan demi membantu industri ini bangkit semula daripada kesan krisis pandemik. Bakat-bakat yang berkualiti memainkan peranan besar dalam menggerakkan syarikat syarikat untuk meneroka dan merebut peluang dalam industri pelancongan domestik dan global yang semakin pulih. PERKESO terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan atau badan dalam industri pelancongan dalam menganjurkan program berkaitan pekerjaan seperti Karnival Kerjaya manfaat para majikan dan pencari kerja.