Siakap Keli
selangor coldplay amirudin
Kredit: @kamikeadilan/Twitter

Rakyat Di Selangor Minat Coldplay Kerana Muzik, Bukan Gerakan Pelangi – Amirudin Shari

Rakyat Di Selangor Minat Coldplay Kerana Muzik, Bukan Gerakan Pelangi – Amirudin Shari

“Rakyat di Selangor minat Coldplay bukan kerana gerakan pelangi namun lebih kepada muziknya yang rancak,” demikian kata-kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ujarnya, penduduk di Selangor merupakan rakyat yang matang dan metropolitan di mana sangat faham mengenai budaya masyarakat kini.

“Saya setuju dengan pandangan sesetengah pemimpin terutama KJ (Khairy Jamaluddin) mengenai hal ini.

“Bagi yang minat muziknya, mungkin mesej yang ada dalam muzik. Silakan pergi untuk bersama-sama meraikan lagu dan irama daripada Coldplay,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu perkongsian video di Twitter (@kamikeadilan) pada Isnin.

Jelasnya, undang-undang sivil dan syariah dalam negeri juga tidak menerima budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau gerakan pelangi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para penganjur untuk menasihatkan artis tersebut supaya tidak menunjukkan elemen tersebut semasa konsert diadakan.

“Jadi kepada penganjur saya minta nasihatkan kepada Coldplay dan juga artis lain yang ada elemen tersebut tidak pamerkan ketika konsert di Malaysia. Ini tanggungjawab mereka,” tambahnya.

BACA: Khairul Aming Kongsi Tips Beli Tiket ‘Standing’ Konsert Coldplay

“Welcome To Kuala Lumpur,” 

Sebelum ini, media turut melaporkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengalu-alukan kedatangan kumpulan muzik terkenal, Coldplay.

Ucapan itu dibuat Anwar Ibrahim menerusi akaun Twitter rasmi miliknya.

“Welcome to Kuala Lumpur!” tulis ciapan itu.

Ucapan daripada PM itu segera mendapat perhatian pengguna Twitter yang lainnya.

Coldplay Pernah Sumbang Kapal Pembersih Sampah Di Sungai Klang

Untuk makluman,  Coldplay dilaporkan pernah menjadi antara penyumbang utama kapal pembersih sampah di perairan negara beberapa tahun lalu.

Kapal yang dibina oleh pertubuhan bukan berkepentingan Belanda The Ocean Cleanup itu ditaja sepenuhnya oleh kumpulan muzik dari British tersebut.

“Tanpa tindakan, mungkin terdapat lebih banyak plastik daripada ikan di lautan menjelang 2050, itulah sebab kerja The Ocean Cleanup sangat penting.

“Kami berbangga untuk menaja Interceptor 005 yang akan menangkap beribu-ribu tan sisa sebelum sampai ke lautan,” kata kumpulan itu sewaktu pemberian sumbangan tersebut.

Kapal pembersihan sumbangan itu dipercayai telah mula beroperasi pada pertengahan tahun 2021 yang lalu.

Sumber: @kamikeadilan/Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana