Siakap Keli
lupa cara senyum jepun

Segelintir Rakyat Jepun Dilapor Lupa Cara Untuk Senyum Gara-Gara Covid-19

Segelintir Rakyat Jepun Dilapor Lupa Cara Untuk Senyum Gara-Gara Covid-19

Sebuah bengkel amalan senyuman di Jepun mendedahkan bahawa sebahagian rakyat Jepun kini mungkin terlupa cara untuk senyum selepas wabak Covid melanda dunia, lapor Independent.

Jepun telah melonggarkan peraturan pelitup muka buat kali pertama pada Mac sejak wabak Covid melanda dunia pada 2020.

Kerajaan berkata kini terpulang kepada individu untuk memutuskan sama ada mereka mahu memakai pelitup muka atau tidak.

Setelah menghabiskan masa yang lama di sebalik topeng, kini segelintir rakyat Jepun dilaporkan menghadiri bengkel dan seminar tentang cara senyum dalam era baharu ini.

Menurut Mainichi Shimbun, sebuah pusat jagaan warga emas di Tokyo pada awal bulan ini telah mengadakan bengkel untuk membantu warga emas belajar untuk tersenyum semula.

Kira-kira 30 orang menghadiri seminar yang dianjurkan oleh Egaoiku, sebuah syarikat Jepun yang berpangkalan di Zushi, wilayah Kanazwa.

Akiko Takizawa, 79 tahun, yang menghadiri seminar latihan senyuman berkata: “Saya tidak mempunyai peluang untuk melihat orang semasa krisis koronavirus. Justeru saya tidak menunjukkan senyuman saya kepada orang lain.”

“Saya diingatkan tentang betapa pentingnya senyuman,” katanya lagi.

Egaoiku yang bermaksud ‘pendidikan senyuman’ juga dilaporkan menganjurkan seminar ini dalam talian sebelum mandat topeng dilonggarkan.

Jurucakap seminar itu turut menyatakan bahawa antara Februari dan April tahun ini, bilangan peserta “meningkat 4.5 kali ganda” berbanding tempoh yang sama 2022 lalu.

Jepun menjadi salah satu negara terakhir di seluruh dunia yang melonggarkan peraturan pemakaian topeng muka baru-baru ini.

Keiko Kawano, pengasas Egaoiku atau “sekolah senyuman” yang menganjurkan seminar latihan pada Mac memberitahu pelajarnya bahawa senyuman hanyalah senyuman.

“Senyuman hanyalah senyuman jika ia disampaikan.

“Walaupun anda berfikir untuk tersenyum atau anda gembira namun tidak menunjukkan ekspresi, maka ia tidak akan sampai kepada penonton,” katanya, menurut Japan Times.

Kawano yang mengendalikan syarikat lain yang dipanggil Persatuan Jurulatih Egao atau “wajah tersenyum” telah melatih sekurang-kurangnya 4,000 peserta untuk tersenyum.

Laporan tempatan memberinya kredit penghargaan kerana telah berjaya melatih lebih 700 untuk menjadi “pakar senyuman” bertauliah.

Kyoko Miyamoto, 74, yang menghadiri seminar Kawano pada bulan Mac berkata: “Saya rasa ada sedikit ketakutan dan segan dengan pergerakan untuk menanggalkan topeng.”

“Tambahan lagi, orang ramai telah memakai topeng untuk sekian lama sehingga mereka mungkin terlupa rupa wajah rakan mereka. Kadangkala apabila anda melihat seseorang dan mereka menanggalkan topeng mereka, bahagian bawahnya sangat tidak dijangka,” kata Kyoko.

Menurut Kawano, selepas wabak bermula, senyuman di wajah orang ramai semakin berkurangan.

Disebabkan masalah yang berlaku ini, laporan turut mendedahkan terdapat banyak syarikat yang menganjurkan seminar bimbingan senyuman secara peribadi.

“Kami sangat sibuk sekarang kerana orang ramai mahu dilihat tersenyum semula,” kata Miho Kitano, pemilik sebuah lagi syarikat yang menganjurkan senyuman.

“Rakyat Jepun telah memakai topeng selama lebih tiga tahun sekarang dan ada yang mengatakan mereka hampir terlupa untuk tersenyum,” tambahnya.

Kitano telah memulakan syarikatnya pada lima tahun lalu. Tetapi lonjakan permintaan untuk bengkel mengajar mereka cara tersenyum meningkat selepas pelonggaran sekatan topeng muka.

Laporan turut mendedahkan bahawa bagi kelas selama satu jam sebanyak 64 pound sterling (RM362) caj akan dikenakan kepada mereka yang mengikuti.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

“Senyuman mestilah semula jadi untuk disampaikan kepada orang lain. Tetapi bagi sesiapa yang tidak tersenyum, otak akan lupa cara menggunakan otot muka,” tambah Kitano lagi.

Walaupun topeng tidak lagi diwajibkan di tempat awam di Jepun, pakar menyarankan orang ramai tidak berputus asa untuk terus tersenyum.

“Memakai topeng adalah sebahagian daripada budaya kami sebelum Covid-19,” kata Hitoshi Oshitani, seorang profesor Universiti Tohoku yang merupakan arkitek respons Covid Jepun.

Sumber: Independent

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka