Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Timbalan Menteri KPKM Terima Kunjungan Hormat Oleh TYT Takahashi Mitsuo

Nurul Naqiyah

Timbalan Menteri KPKM Terima Kunjungan Hormat Oleh TYT Takahashi Mitsuo

PUTRAJAYA, 3 MEI 2024, – YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 2 Mei 2024 (Khamis) telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Takahashi Mitsuo, Parliamentary Vice-Minister Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun di Wisma Tani, Putrajaya.

Malaysia dan Jepun adalah rakan perdagangan utama dalam sektor pertanian dan agromakanan. Pada tahun 2023, data perdagangan merekodkan Malaysia mengeksport barang bernilai RM8.41 bilion ke Jepun, manakala nilai import dari Jepun ke Malaysia adalah RM2.09 bilion. Ini menyebabkan imbangan perdagangan positif bagi Malaysia.

Lebihan perdagangan agromakanan antara dua negara tersebut merupakan suatu pencapaian yang membanggakan. Justeru, pertemuan sulung kedua-dua pemimpin ini adalah penting dalam memastikan kerjasama yang baik ini kekal berterusan.

kunjungan hormat tyt takahashi mitsuo

Dalam pertemuan mereka, kedua-dua pemimpin ini membincangkan kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam perdagangan dua hala, kerjasama di dalam sektor pertanian serta peranan Malaysia sebagai hab halal yang ingin dimanfaatkan oleh Jepun.

Di kesempatan tersebut, Arthur mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan berharap supaya pertukaran teknologi dapat diperkemaskan melalui kerjasama dua hala sedia ada.

YB Timbalan Menteri turut memaklumkan perancangan Malaysia untuk menganjurkan Mesyuarat kali Ke-2 Pegawai-pegawai Kanan bagi Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-Jepun (Senior Officers Meeting of the ASEAN-Japan Ministers of Agriculture and Forestry (AJMAF)) Ke-2 pada 7 Ogos 2024 bersempena penganjuran Mesyuarat Khas Pegawai-pegawai Kanan kali Ke-45 Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (Special Senior Official Meeting of ASEAN Ministers on Agriculture and Forestry (SSOM-AMAF)) Ke-45 pada 6-8 Ogos 2024.

kunjungan hormat tyt takahashi mitsuo

Mesyuarat itu kelak dijangka akan membincangkan perkembangan kerjasama ASEAN-Japan MIDORI Cooperation Plan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat AJMAF Pertama pada tahun 2023.

Kunjungan TYT Takahashi Mitsuo ke Malaysia juga melibatkan pelancaran Japan Food Export Platform di Malaysia. Malaysia merupakan negara dengan majoriti Muslim yang pertama dipilih sebagai lokasi Japan Food Export Platform. Langkah ini diharap dapat membuka peluang kepada lebih banyak syarikat Jepun untuk menembusi pasaran halal serta mendapatkan pengiktirafan halal.

Bagi mempertingkatkan kualiti produk keluaran penternak tempatan melalui perkongsian kapasiti dan latihan, Arthur juga menyatakan kesediaan KPKM menyokong usaha tersebut serta memohon sokongan dan bantuan pihak Jepun.

kunjungan hormat tyt takahashi mitsuo

Di akhir pertemuan, YB Timbalan Menteri telah menjemput TYT Takahashi Mitsuo ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September 2024 dan mempelawa penyertaan pihak Jepun dalam acara dwi-tahunan tersebut. Malaysia pula dijemput oleh pihak Jepun untuk menyertai International Horticultural Expo Yokohama yang akan berlangsung pada 19 Mac hingga 16 September 2027 di Kanagawa Prefecture.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Datuk Azah Hanim binti Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian (DOA), YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi serta pegawai-pegawai KPKM.