Siakap Keli
kesan tikaman pada leher
Gambar: Bernama

Mayat Warga Emas Ditemui Dengan Kesan Tikaman Pada Leher

Mayat Warga Emas Ditemui Dengan Kesan Tikaman Pada Leher

PARIT BUNTAR – Mayat wanita warga emas dilaporkan telah ditemui di dalam rumahnya di Kampung Tersusun dengan kesan tikaman pada lehernya semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 61 tahun itu telah ditemukan dalam keadaan separuh bogel oleh jirannya yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, terdapat juga kesan darah pada bantal, tilam dan dinding di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.

“Terdapat juga kesan lebam di lengan mangsa dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri,” katanya.

Tambah beliau lagi, hasil siasatan lanjut, suspek memecah masuk rumah mangsa kerana terdapat kesan umpil pada tingkap.

“Bagaimanapun, tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan luka tikaman pada leher,” katanya.

BACA: Tak Pernah Dibuat Orang, Lelaki Kongsi Resepi Udang Celup Biskut Gulung, Sedap & Unik

Sementara itu, suspek kini sedang dikesan bagi mengetahui mengenai motif sebenar kejadian.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.

Mohd Yusri berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-721222.

Terdahulu, tiga individu berdepan detik cemas apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, dalam tiga kejadian berasingan di sekitar Rantau dan Mambau Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata polis menerima tiga laporan daripada mangsa, iaitu seorang wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 24 hingga 54 tahun pada pukul 8 pagi hingga 8.38 pagi, berhubung insiden itu yang dipercayai dilakukan suspek sama.

BACA JUGA: Tak Payah Cari “Link”, Korang Boleh Layan Bola Guna Aplikasi Ni Tanpa “Lag”, Siap Kualiti Tinggi

Sumber: Sinar Harian 

Ezzatul Syafiqah