Siakap Keli
elon musk drone perang
Gambar: IG Eon Musk

Elon Musk Dakwa Kerajaan Dunia Akan Guna AI Untuk Bina Drone Perang

Elon Musk Dakwa Kerajaan Dunia Akan Guna AI Untuk Bina Drone Perang

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk mendakwa kemajuan kecerdasan buatan (AI) akan digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk membina drone perang.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam sidang kemuncak Majlis Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan Wall Street Journal (WST) di London pada Selasa.

Majlis itu difahamkan diadakan setiap tahun selama dua hari dengan menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif bercakap tentang cara mereka mengemudi dunia perniagaan di hadapan khalayak global.

“Saya berpendapat masyarakat hari ini bergerak dengan andaian bahawa tamadun manusia kekal teguh dan tidak mungkin boleh dijatuhkan. Padahal sejarah sudah membuktikan ia adalah sentimen biasa dalam sesebuah tamadun sebelum mereka rebah.

”Ketika ini, suasananya seperti kita di peringkat akhir sebuah empayar,” katanya.

Beliau kemudiannya bersetuju bahawa kemajuan AI hari ini mungkin mempercepatkan keruntuhan empayar manusia.

“Saya fikir, ya. Saya tidak merasakan bahawa kita perlu bergantung dengan AI hari ini. Terdapat risiko yang perlu difikirkan, sama ada AI akan menambah baik, menghalang atau memusnahkan kemajuan manusia.

”Elemen kecerdasan buatan yang luar biasa menjadikan AI ibarat pedang bermata dua. Jika anda memiliki ‘teko jin’ yang boleh menunaikan apa sahaja permintaan, itu bahaya.

”Saya mengesyaki, perkara pertama sesebuah kerajaan akan lakukan dengan AI adalah membina senjata. Menghasilkan senjata moden yang boleh bertindak balas lebih pantas daripada manusia di medan perang adalah kelebihan yang mampu AI tawarkan.

”Mana-mana peperangan di antara negara maju selepas ini, atau negara yang memiliki kemampuan drone, akan menjadi perang drone,” katanya.

Musk kemudian menjelaskan keputusannya memperkenalkan pakej langganan di Twitter sebagai salah satu usaha untuk menyukarkan kerja AI.

Katanya, dengan mekanisme langganan dan pengesahan, ia menjadi 10,000 kali lebih susah untuk mana-mana individu mencipta akaun palsu menggunakan AI.

Menurut Musk, platform media sosial adalah tempat yang bahaya dimana AI boleh digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu.

Terdahulu, Musk dalam satu ciapannya mengumumkan pelantikan CEO baharu, iaitu seorang wanita bagi menggantikan posisinya di Twitter.

CEO baharu itu akan menggalas jawatan sebagai ketua di syarikat induk Twitter yang dijenamakan sebagai X Corp. Manakala selepas menyerahkan jawatan tersebut, Elon akan menggalas peranan sebagai Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal (CTO) di syarikat berkenaan.

BACA: Tips Nak Buat Daun Bawang Beku Jadi Berderai, Senang Nak Guna Semula

Sumber: Forces.net

Mohd Raimi Ismail

peace on earth