Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Tak Tahu, CCTV Rumah Kini Lebih Pintar Dengan AI

suhaila
Ramai Tak Tahu, CCTV Rumah Kini Lebih Pintar Dengan AI
Gambar AI

Ramai Tak Tahu, CCTV Rumah Kini Lebih Pintar Dengan AI

Suatu ketika dahulu, kamera litar tertutup atau CCTV hanya dianggap sebagai alat rakaman yang berfungsi menyimpan video untuk tujuan rujukan sekiranya berlaku sesuatu kejadian. Kebanyakan pemilik rumah memasangnya sebagai langkah berjaga-jaga bagi memantau kawasan kediaman dan mengumpulkan bukti sekiranya berlaku kecurian, pencerobohan atau kerosakan harta benda.

Namun, perkembangan teknologi dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mengubah peranan CCTV secara drastik. Kamera keselamatan moden kini bukan sekadar merakam malah mampu berfikir dan menganalisis situasi melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Teknologi AI menjadikan CCTV rumah lebih pintar kerana ia mampu mengenal pasti objek, memahami corak pergerakan serta memberikan amaran secara automatik apabila mengesan sesuatu yang mencurigakan. Fungsi-fungsi ini membantu pemilik rumah bertindak dengan lebih pantas tanpa perlu sentiasa memerhatikan rakaman kamera sepanjang masa.

Malah banyak model CCTV terkini menawarkan ciri pintar yang suatu ketika dahulu hanya terdapat pada sistem keselamatan berteknologi tinggi yang digunakan oleh syarikat besar atau premis komersial. Berikut kami kogsikan 10 fungsi AI pada CCTV rumah yang mungkin masih belum diketahui ramai tetapi sebenarnya sangat berguna dalam meningkatkan tahap keselamatan kediaman.

1. Pengesanan manusia yang lebih tepat

Salah satu kelemahan utama CCTV tradisional ialah ia akan mengesan hampir semua bentuk pergerakan tanpa mengira sama ada pergerakan tersebut berpunca daripada manusia, haiwan, hujan atau dedaun yang ditiup angin.

Keadaan ini sering menyebabkan pengguna menerima terlalu banyak notifikasi yang akhirnya mengganggu dan menyebabkan amaran penting terlepas pandang. Dengan adanya teknologi AI, kamera kini mampu mengenal pasti bentuk tubuh manusia secara lebih tepat.

Sistem akan menapis pergerakan yang tidak berkaitan dan hanya menghantar amaran apabila terdapat individu yang benar-benar memasuki kawasan yang dipantau. Dengan fungsi ini, pemantauan akan jadi lebih tepat dan pengguna dapat memberi perhatian kepada perkara yang benar-benar penting.

2. Pengesanan kenderaan secara automatik

Selain mengenal pasti manusia, CCTV pintar juga mampu mengesan dan membezakan kenderaan daripada objek lain yang bergerak di sekeliling rumah. Teknologi ini sangat berguna bagi pemilik rumah yang mempunyai kawasan parkir persendirian, halaman yang luas atau kediaman yang terletak berhampiran jalan utama.

Apabila sistem mengesan kenderaan memasuki atau berhenti di kawasan tertentu, notifikasi boleh dihantar terus ke telefon pintar pengguna.

Dalam sesetengah model yang lebih canggih, sistem juga boleh merekodkan pergerakan keluar masuk kenderaan secara automatik. Rakaman ini dapat memudahkan proses pemantauan dan semakan semula sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

3. Pengecaman wajah untuk keselamatan tambahan

Teknologi pengecaman wajah yang dahulunya hanya digunakan dalam telefon pintar dan sistem keselamatan berteknologi tinggi kini mula diterapkan pada CCTV rumah. Melalui fungsi ini, kamera mampu mengenal pasti individu yang sering berada di kawasan rumah seperti ahli keluarga, saudara-mara atau jiran yang dikenali.

Apabila wajah yang tidak dikenali dikesan memasuki kawasan tertentu, sistem boleh menghantar amaran khas kepada pemilik rumah.

Keadaan ini membolehkan tindakan awal diambil sekiranya terdapat individu asing yang berada di sekitar kediaman tanpa sebab yang jelas. Fungsi ini akan memberikan lapisan keselamatan tambahan yang sukar diperoleh melalui CCTV biasa.

4. Mengesan aktiviti yang mencurigakan

Di samping itu juga, AI bukan sahaja mampu mengenal pasti manusia malah boleh menganalisis tingkah laku dan corak pergerakan yang dianggap luar biasa. Sebagai contoh, seseorang yang berdiri terlalu lama di hadapan pagar rumah, berjalan berulang kali di kawasan yang sama atau cuba memanjat tembok boleh dikenal pasti sebagai aktiviti yang mencurigakan.

Keupayaan ini membolehkan pemilik rumah menerima amaran lebih awal sebelum sesuatu kejadian berlaku. Dalam banyak situasi, tindakan pantas yang diambil selepas menerima notifikasi boleh membantu mengelakkan risiko pencerobohan atau kecurian daripada berlaku.

5. Notifikasi masa nyata terus ke telefon pintar

Kemudahan menerima maklumat secara langsung merupakan antara sebab utama ramai pengguna beralih kepada CCTV pintar. Sistem AI yang diintegrasikan dengan aplikasi telefon pintar membolehkan pengguna menerima notifikasi dalam masa nyata sebaik sahaja sesuatu aktiviti dikesan.

Pemilik rumah masih boleh memantau keadaan kediaman mereka melalui telefon pintar walaupun sedang bekerja, bercuti bersama keluarga atau berada di luar negara. Sebarang aktiviti yang dikesan oleh kamera akan dipaparkan secara langsung yang membolehkan pengguna mengetahui keadaan semasa di rumah pada bila-bila masa.

6. Pengesanan haiwan peliharaan yang lebih bijak

Bagi mereka yang memelihara kucing atau anjing di rumah, notifikasi yang terlalu kerap akibat pergerakan haiwan peliharaan boleh menjadi masalah yang menjengkelkan. Teknologi AI membantu menyelesaikan isu ini dengan mengenal pasti perbezaan antara manusia dan haiwan.

Melalui fungsi ini, sistem boleh ditetapkan supaya mengabaikan pergerakan haiwan peliharaan atau memberikan notifikasi yang berbeza mengikut kategori objek yang dikesan. Selain mengurangkan amaran palsu, pemilik juga boleh menggunakan kamera untuk memantau keadaan haiwan peliharaan ketika mereka berada di luar rumah dalam tempoh yang lama.

7. Zon keselamatan pintar yang boleh disesuaikan

Tidak semua kawasan di sekitar rumah memerlukan tahap pemantauan yang sama. Oleh sebab itu, kebanyakan CCTV AI menawarkan fungsi zon keselamatan pintar yang membolehkan pengguna memilih kawasan tertentu untuk dipantau secara lebih aktif.

Sebagai contoh, pengguna boleh menetapkan pintu utama, pintu belakang, garaj atau tingkap sebagai kawasan sensitif. Jika terdapat pergerakan dalam zon tersebut, sistem akan segera menghantar amaran.

Pendekatan ini dapat membantu untuk mengurangkan gangguan daripada pergerakan yang tidak penting serta memastikan perhatian diberikan kepada lokasi yang lebih berisiko.

8. Audio dua hala untuk berkomunikasi dari jauh

Selain itu juga, CCTV moden kini tidak lagi terhad kepada rakaman video semata-mata. Banyak model terkini dilengkapi mikrofon dan pembesar suara terbina dalam yang membolehkan komunikasi dua hala dilakukan secara terus melalui aplikasi telefon pintar.

Fungsi ini amat berguna dalam pelbagai situasi harian. Sebagai contoh, pemilik rumah boleh berkomunikasi dengan penghantar barang, memberi arahan kepada anak-anak yang berada di rumah atau menegur individu yang mencurigakan tanpa perlu keluar dari rumah. Kemudahan ini menjadikan CCTV sebagai alat pemantauan yang lebih interaktif dan praktikal.

9. Pengesanan bunyi yang tidak normal

Selain memantau pergerakan melalui visual, sesetengah CCTV pintar turut mampu mengesan bunyi tertentu yang dianggap luar biasa atau berpotensi menandakan situasi kecemasan. Antaranya termasuk bunyi kaca pecah, jeritan meminta pertolongan, ketukan kuat pada pintu atau bunyi hentakan yang mencurigakan.

Apabila bunyi seperti ini dikesan, sistem akan menghantar amaran kepada pengguna dengan segera. Fungsi ini sangat berguna terutama ketika waktu malam atau apabila kamera dipasang di kawasan yang kurang mendapat perhatian secara visual.

10. Analisis rakaman yang lebih cepat dan mudah

Mencari rakaman penting dalam tempoh berjam-jam atau berhari-hari boleh menjadi tugas yang memakan masa. Teknologi AI membantu memudahkan proses ini dengan mengkategorikan rakaman berdasarkan jenis objek atau aktiviti yang direkodkan.

Sebagai contoh, pengguna boleh mencari rakaman yang melibatkan manusia, kenderaan atau haiwan tanpa perlu menonton keseluruhan video satu persatu. Ini membolehkan rakaman yang diperlukan ditemui dengan lebih cepat, sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan proses semakan apabila berlaku sesuatu insiden.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi AI telah membawa perubahan besar dalam dunia keselamatan rumah. Jika dahulu CCTV hanya berfungsi sebagai alat rakaman pasif, kini ia bertindak sebagai sistem pemantauan pintar yang mampu mengesan, menganalisis dan memberi amaran secara automatik mengikut situasi yang berlaku.

Keupayaan mengenal pasti manusia, kenderaan, wajah, bunyi serta aktiviti mencurigakan menjadikan CCTV moden jauh lebih efektif berbanding model konvensional. Bagi pemilik rumah yang ingin meningkatkan tahap keselamatan kediaman, pelaburan dalam CCTV berasaskan AI boleh dianggap sebagai satu langkah yang berbaloi.

Selain menawarkan pemantauan yang lebih tepat dan efisien, teknologi ini membolehkan pemilik rumah mengikuti keadaan semasa kediaman mereka pada bila-bila masa, walaupun berada jauh dari rumah. Dengan semakin banyak model pintar ditawarkan di pasaran, tidak mustahil CCTV AI akan menjadi antara keperluan utama bagi kediaman moden pada masa hadapan.