Darah merupakan antara komponen penting dalam tubuh manusia yang memainkan peranan besar dalam memastikan tubuh dapat berfungsi dengan baik.
Dalam bidang perubatan, darah juga mempunyai pelbagai kegunaan untuk membantu pesakit yang memerlukan rawatan.
Seiring dengan perkembangan ilmu perubatan, komponen darah boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan, bergantung pada keperluan dan kesesuaian rawatan seseorang pesakit.
Malah, terdapat beberapa fakta menarik mengenai darah yang mungkin masih belum diketahui oleh orang ramai, termasuk kegunaannya dalam menghasilkan produk perubatan tertentu.
Plasma darah dijadikan ubat titis mata
Menurut perkongsian Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook, plasma daripada pendermaan darah utuh (whole blood) boleh dijadikan ubat titis mata plasma atau Plasma Eye Drop (PED).
Ubat titis mata berkenaan digunakan untuk merawat kecederaan mata yang serius berdasarkan saranan dan penilaian pakar mata atau ophthalmologist.
Bagaimana plasma darah diproses?
Selepas darah utuh didermakan, komponen plasma akan diasingkan sebelum dibahagikan kepada beberapa segmen.
Segmen tersebut kemudiannya dibekukan pada suhu di bawah -25 darjah Celsius.
Boleh disimpan sehingga tiga bulan
Pusat Darah Negara turut menjelaskan bahawa ubat titis mata plasma mempunyai jangka hayat selama tiga bulan apabila disimpan di dalam peti sejuk beku pada suhu antara -18 hingga -25 darjah Celsius.
Sebelum digunakan oleh pesakit, segmen PED perlu dicairkan terlebih dahulu.
Tempoh penggunaan ubat titis mata plasma tersebut pula akan ditentukan oleh pakar mata berdasarkan penilaian dan keperluan pesakit.
Perkongsian ini menunjukkan bahawa komponen darah yang didermakan boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan perubatan, sekali gus memberikan manfaat kepada pesakit yang memerlukan rawatan bersesuaian.

