Siakap Keli
jofliam cef piza
Kredit: Bernama

Jofliam Rakyat Malaysia Pertama Diiktiraf Cef Piza Oleh APN

Jofliam Rakyat Malaysia Pertama Diiktiraf Cef Piza Oleh APN

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Bermula dengan sekadar hobi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19, kini Jofli Abu Bakar, 35, merupakan cef piza yang diiktiraf oleh Organisasi Piza Napoli (APN) di Itali, bersama dua lagi rakannya dan dinobatkan sebagai 16 pasukan terbaik daripada 50 pasukan yang bertanding.

Beliau yang lebih mesra disapa Jo atau Jofliam menyertai pertandingan Tutto Pizza di Napoli, menjadi rakyat Malaysia pertama bertanding pada acara tahunan itu bersama dua rakannya dari Itali, Salavatore Miil dan Vincenzo Di Nuzzo mewakili Malaysia

Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur ketika beliau ditemu ramah sebelum memulakan pertandingan yang mengumpulkan pembuat dan jenama piza terkenal di Itali, semalam.

“Pada awalnya saya nak bawa pasukan saya dari Malaysia, tetapi bila difikirkan penganjur pertandingan tidak sediakan peti ais, mesin uli dan perkakas lain, kena bawa dari Malaysia. Jadi saya hubungi Salvatore untuk beritahu bahawa saya nak sertai pertandingan untuk bawa nama Malaysia.

“Saya tanya sama ada dia sudi nak sertai saya dan dia berbesar hati untuk wakili Malaysia. Kita tahu orang Itali ini patriotik tinggi, jadi bila Salvatore sanggup wakili Malaysia ia satu penghormatan untuk saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang merupakan seorang pempengaruh media sosial dan ahli perniagaan turut berkata mengikut pemarkahan, beliau diberitahu berada di tempat keempat.

Menurut Jofliam, 16 pasukan terbaik akan berpeluang menyertai sebuah rancangan realiti di Itali iaitu Master Pizza Champion, namun beliau belum membuat keputusan untuk menyertainya kerana bimbang mengambil masa beberapa bulan dan perlu meninggalkan isteri dan anak-anaknya.

“Saya kena berfikir banyak kali sebab sudah tentu kalau kita masuk pertandingan seperti ini, kita terpaksa meninggalkan anak-anak sebab mereka (penganjur) akan beri kita penempatan sendiri dan kita akan dipisahkan dengan dunia luar,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi motivasinya untuk bertanding pada pertandingan itu ialah anak sulungnya, Han Jofli, 8, yang menyatakan kekaguman setiap kali Jofliam membuat piza daging wagyu di rumah untuk pelanggannya.

“Idea ini bermula daripada anak saya selalu cakap ‘papa ini cef, Han suka papa jadi cef’, jadi saya rasa kena buat sesuatu untuk ke peringkat seterusnya, saya tanya kawan-kawan di Itali tentang apa yang perlu saya buat untuk ke peringkat seterusnya, mereka nasihatkan saya untuk sertai pertandingan piza di Napoli yang diadakan setiap tahun.

“Saya mahu tunjukkan kepada anak-anak saya bahawa bila kita mahukan sesuatu, kita kena buat sehabis baik untuk dapatkannya sebab saya tidak suka bercakap, saya suka praktikkan terus barulah anak-anak saya ikut,” katanya.

Ditanya mengenai rancangannya selepas pulang ke Malaysia membawa sijil daripada pertandingan piza terbesar di Itali itu, Jofliam berkata beliau belum memutuskan perjalanan seterusnya dan akan terus berusaha menjadi yang terbaik dan tawakal.

Beliau turut berharap selepas ini akan ada lagi peserta dari Malaysia yang mengikut jejaknya membawa nama negara untuk ke pentas antarabangsa menerusi pertandingan-pertandingan membuat piza yang dianjurkan di Itali.

BACA: “Suka Hati Hampalah”, The Melvins Tak Heran Konsert Coldplay, Lagi Minat Ceramah Agama

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma