Lim Teong Kim Sah Tinggalkan Perak FC
KUALA KANGSAR — Ketua Jurulatih Perak Football Club (FC), Datuk Lim Teong Kim sah tidak lagi bersama pasukan tersebut.
Pengumuman tersebut dimaklumkan sendiri oleh badan pengurusan kelab berkenaan dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuatkuasa serta-merta,” maklum Perak FC.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” maklum kelab bola sepak dari utara tanah air itu.
Sementara itu, Yusri Che Lah dilaporkan bakal mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih Sementara dalam tempoh terdekat.
Perak FC 2023
Sepanjang musim Liga Super 2023, pasukan Perak gagal menampilkan prestasi yang memberangsangkan dengan menduduki tangga ke-11 daripada 14 pasukan yang bersaing.
Selepas 12 perlawanan, Perak FC hanya berjaya memenangi dua perlawanan, tiga seri dan tujuh kekalahan dengan 9 mata berjaya dikumpulkan.
BACA JUGA: Tiga Lelaki Didenda RM2,000 Merusuh Di Stadium Perak Sabtu Lepas
Dalam lima perlawanan terakhir, pasukan itu hanya menang satu perlawanan selebihnya merekodkan satu seri dan tiga kekalahan.
Perak FC dijangka melayani kunjungan pasukan dari pantai timur, Terengganu FC di gelanggang sendiri pada 3 Jun nanti dalam saingan Liga Super.
Sebelum ini, Perak FC menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan ketua jurulatih pasukan itu sewaktu menyantuni petugas media, lapor Astro Awani.
Ia sejurus tamat aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh. Dalam perlawanan tersebut menyaksikan tuan rumah dibelasah 0-5 oleh pasukan pelawat.
Menurut Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, badan pengurusan bola sepak itu mengambil iktibar dengan insiden yang berlaku.
Tambahan lagi, ia turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna di media sosial.
Permohonan Maaf
Dalam pada itu, Abdul Azim selaku pengerusi pasukan itu memohon maaf kepada petugas media. Ia termasuk Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) berhubung kejadian itu.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengamal media bahawa Kelab Bola Sepak Perak amat menyokong peranan yang dilakukan rakan media dan memahami kekecewaan yang dialami dengan kejadian yang telah berlaku,” katanya dalam kenyataan
Sumber: Perak Football Club