Siakap Keli

Imigresen Gempur Sindiket Perkhidmatan Seks Songsang Warga Asing

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan sindiket perkhidmatan ‘seks songsang’ warga asing dan menahan enam orang lelaki warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 23 Mei 2023 di Kuala Lumpur. Operasi ini bermula pada jam 7.15 malam melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Pasukan operasi telah menyerbu premis 2 tingkat dan menahan seramai enam orang lelaki warga asing yang bekerja sebagai tukang urut dan penjaga premis. Selain khidmat urutan kepada lelaki, mereka juga menyediakan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki. Turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan.

Warga asing yang ditahan terdiri daripada lima orang lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Myanmar yang berusia diantara 26 hingga 38 tahun. Salah seorang lelaki Indonesia tersebut merupakan penjaga premis ataupun ‘Daddy’ kepada semua tukang urut.

Pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan Pas.

Sindiket ini beroperasi di premis perniagaan 2 tingkat dengan menjadikan tingkat 1 sebagai pusat urut dan tingkat 2 sebagai tempat tinggal.

Sindiket ini dipercayai telah mula beroperasi sejak tahun lalu dan modus operandi sindiket ini ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di kumpulan laman sosial, kumpulan WhatsApp dan kumpulan Telegram.

Pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan dan akan dikongsikan gambar-gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan tukang urut serta pilihan pakej khas urutan. Penjaga premis ataupun ‘Daddy’ akan memberikan lokasi pandu arah kepada pelanggan.

Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan. Sindiket ini dipercayai telah mengaut keuntungan sebanyak hampir RM650,000 hasil daripada perkhidmatan urut dan seks songsang.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala seramai tujuh orang lelaki tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan. Mereka adalah pelanggan yang berada didalam premis pusat urut tersebut semasa serbuan dilakukan.

Jabatan ini akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan mengesan sindiket-sindiket terutamanya yang melibatkan warga asing atau melibatkan kesalahan imigresen. Orang ramai juga dipohon supaya terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang melanggar undang-undang dan tidak bermoral supaya tindakan pantas dan tegas dapat diambil.

Amira

Love yourself.