Siakap Keli

Karnival Kerjaya MyFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Temui Rakyat Di Tiga Negeri, Tawar 15,000 Peluang Pekerjaan

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di tiga buah negeri pada dua hujung minggu berturut-turut, dengan menawarkan hampir 15,000 peluang pekerjaan daripada lebih 100 majikan.

Karnival Kerjaya akan diadakan serentak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datuk, Perak pada 27 dan 28 Mei 2023, diikuti di Pulau Pinang pada 3 dan 4 Jun 2023. Karnival ini merupakan satu platform yang menemukan pencari kerja dengan syarikat-syarikat yang memerlukan bakat untuk mengisi kekosongan bagi perkembangan operasi dan perniagaan mereka.

Selain daripada menghimpunkan pencari kerja dengan berbagai kelayakan dan kompetensi bersama bakal majikan dari pelbagai sektor di bawah satu bumbung untuk sesi temu duga terbuka, PERKESO juga menyediakan kaunter kaunseling kerjaya di Karnival Kerjaya tersebut untuk meningkatkan peluang calon-calon berjaya dalam temu duga.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bantuan penyediaan resume, bimbingan kerjaya dan nasihat tentang kerjaya yang bersesuaian.

Sehingga kini, 100 majikan telah mengesahkan penyertaan dalam tiga karnival ini dengan jumlah keseluruhan 14,787 jawatan kosong, yang menawarkan gaji bulanan sehingga RM10,000.

Antara majikan yang akan mengambil bahagian adalah Honda Malaysia Sdn Bhd, Maybank Berhad, Maxis Broadband Sdn Bhd, Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, Plus Malaysia Berhad, Public Mutual Berhad, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Genting Malaysia Berhad, Prasarana Malaysia Berhad, Osram Opto Semiconductors (M) Sdn Bhd, Robert Borch Malaysia Sdn Bhd, Flextronic Technology (Penang) Sdn Bhd dan banyak lagi syarikat daripada pelbagai sektor dan industri.

Turut dianjurkan seiring dengan temu duga terbuka di setiap karnival adalah promosi dan sesi penerangan tentang Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), satu skim perlindungan untuk golongan suri rumah yang dikuat kuasakan KSM pada 1 Disember 2022.

Siri Karnival Kerjaya ini disokong oleh perkhidmatan pekerjaan PERKESO yang dilaksanakan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah KSM. Ini termasuklah profil pencari kerja, bengkel temu duga, kaunseling kerjaya, program kebolehpekerjaan seperti kursus asas komunikasi, sahsiah diri dan persediaan menghadapi temuduga, sehinggalah kursus vokasional, jika diperlukan.

Di setiap negeri, Karnival Kerjaya mendapat sokongan daripada pemimpin tertinggi negeri ataupun Menteri Sumber Manusia. Karnival Kerjaya di Negeri Sembilan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun manakala di Perak, Majlis Penutup karnival akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Di Pulau Pinang, Menteri Sumber Manusia Tuan V.Sivakumar akan menyempurnakan Majlis Penutup karnival. Ini merupakan manifestasi keprihatinan pucuk pimpinan terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pekerjaan yang stabil dan perlindungan keselamatan sosial.

Selain itu, KSM telah melancarkan Insentif Kerjaya Madani 2023 yang merupakan sebahagian daripada 10 inisiatif Belanjawan 2023 yang diamanahkan Kerajaan kepada KSM menerusi PERKESO.

Insentif Kerjaya Madani ini merangkumi Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya yang menumpukan kepada peningkatan peluang-peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasar yang terdiri daripada individu bekerja sendiri, Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, miskin tegar, wanita, bekas banduan, dan juga golongan belia, lepasan sekolah serta graduan TVET yang lama menganggur.

Permohonan untuk ketiga tiga program insentif tersebut telah dibuka pada 1 Mei 2023 sehingga 31 Disember 2023. Booth Kerjaya Madani juga disediakan di Karnival Kerjaya untuk memudahkan pencari kerja dan majikan mendapatkan maklumat lanjut atau membuat permohonan.

Bagi pencari kerja tempatan, khususnya penduduk Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang yang ingin mencari pekerjaan atau meninjau pekerjaan lain, daftar segera di pautan http://www.myfuturejobs.gov.my/careerfair dan seterusnya di Portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my untuk mendapat akses kepada Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Untuk maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel di [email protected].

Amira

Love yourself.