Siakap Keli
pesara lhdn polis
Kredit: Bernama

Pesara Rugi RM845,000 Ditipu ‘LHDN’, ‘Polis’

Pesara Rugi RM845,000 Ditipu ‘LHDN’, ‘Polis’

IPOH, 27 Mei (Bernama) — Seorang wanita pesara kerajaan kerugian lebih RM845, 450 gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon kononnya dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian bermula pada 9 Mei lepas apabila mangsa berusia 74 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu ketika berada di rumahnya di Ipoh.

“Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat yang telah didaftarkan atas nama mangsa di Melaka sebelum panggilannya disambung kepada dua ‘pegawai polis’.

“Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa membuat semakan rekod dan mendapati pengadu terlibat dengan pengubahan wang haram selain kes penyeludupan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata suspek ketiga bergelar ‘Datuk’ kemudian mengarahkan mangsa mengikut arahannya dan melaporkan maklumat akaun bank termasuk pergerakan pengadu dari semasa ke semasa.

“Mangsa telah memasukkan wang RM845,450 melalui mesin deposit secara berperingkat ke dalam 14 akaun bank atas pelbagai nama pemilik dari 10 hingga 19 Mei kononnya untuk tujuan semakan.

“Suspek juga telah memberikan tempoh sebulan kepada mangsa untuk menjual rumahnya bagi tujuan semakan malah menasihati pengadu agar tidak melaporkan perkara itu kepada pihak ketiga,” katanya.

Mangsa menyedari telah ditipu selepas meminta bantuan rakannya mencari ejen untuk menjual rumah, katanya.

Menurut Mohd Yusri, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa ‘telefon scam’ termasuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej individu atau nombor tidak dikenali.

“Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut seraya memberi pilihan untuk ‘selesai di luar’, sentiasa membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi yang berkaitan,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan agar menghubungi Penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

BACA: Shila Amzah & Ubai Selamat Bertunang

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma