Suasana pilu menyelubungi Hospital Putrajaya apabila petugas kesihatan memberikan penghormatan terakhir kepada seorang pesara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang hasratnya untuk mendermakan organ ditunaikan oleh ahli keluarga selepas pemergiannya.
Allahyarham Dr. Wan Hasamudin Wan Hasan yang meninggal dunia semalam menerima penghormatan menerusi acara Walk of Honour di hospital berkenaan hari ini.

Menerusi video yang dikongsikan MPOB di Facebook, kelihatan petugas kesihatan berdiri di sepanjang laluan hospital ketika katil yang membawa Allahyarham ditolak oleh pasukan perubatan.
Penghormatan tersebut berlangsung dalam suasana penuh hiba, sekali gus menyentuh hati orang ramai yang tersentuh dengan hasrat murni Allahyarham untuk membantu pesakit lain menerusi pendermaan organ.
Menurut MPOB, acara berkenaan diadakan selepas ahli keluarga menunaikan hasrat Allahyarham untuk menjadi penderma organ.
“Allahyarham Wan Hasamudin Wan Hasan menerima Walk of Honour daripada kakitangan perubatan Hospital Putrajaya selepas keluarga Allahyarham menunaikan hasrat murni beliau untuk menderma organ.
“Semoga pengorbanan terakhirnya di muka bumi ini menjadi amal jariah yang mengalir pahalanya, serta menjadi saham buat Allahyarham di akhirat kelak. Al Fatihah,” menurut hantaran tersebut.
Perkongsian video berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata ratanya menzahirkan rasa terharu dan mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
Meninjau ruangan komen, pengguna Threads, @tenacare.my, menyifatkan Allahyarham sebagai insan hebat.
“Terima kasih, orang hebat,” tulisnya.
“Besar pahala,” komen @zakiraafina.
Sementara itu, @moe_liesa yang mengenali Allahyarham sebagai bapa kepada sahabat baiknya turut menitipkan doa buat arwah.
“Papa, bapa kepada sahabat baik saya! Papa memang orang hebat. Semoga Allah mengurniakan syurga tertinggi buat papa. Al Fatihah,” katanya.
Turut berkongsi kenangan ialah @norlizasadi yang mengenali Allahyarham sejak zaman pengajian di Universiti Birmingham pada 1996.
Menurutnya, Allahyarham bersama isteri sering menjemput mereka yang masih menuntut pengajian prasiswazah untuk menikmati hidangan di rumah mereka.
“Abang Wan, semoga tenang di sana. Doa kami mengiringimu, insan mulia,” tulisnya.
Pengguna Threads, @nur.aisya.mz, turut berkongsi bahawa dia berpeluang bertemu Allahyarham buat kali terakhir pada bulan lalu ketika sambutan hari lahir cucunya di Putrajaya.
“Al Fatihah. Semoga syurga tertinggi buat pak cik. Buat adikku Farhanah, bersabar dan reda ya,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @ly.wrt, pula memaklumkan bahawa dia berada di wad hospital pada malam sebelumnya dan mendengar pengumuman mengenai Allahyarham pada malam serta pagi berikutnya.
“Al Fatihah. Besar pahala yang akan mengalir. Terima kasih, orang baik,” katanya.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kenangan buat insan yang mengenalinya, malah hasrat murni untuk mendermakan organ yang diteruskan oleh keluarga menjadi satu sumbangan bermakna buat mereka yang memerlukan.

