Siakap Keli
Warga Emas Maut Kereta Terbalik
Gambar: Sinar Harian

Kereta Terbabas & Terbalik, Warga Emas Dilapor Maut

Kereta Terbabas & Terbalik, Warga Emas Dilapor Maut

KOTA TINGGI — Seorang wanita warga emas dilaporkan maut berikutan kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbalik pada lewat petang Jumaat, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku di tepi Jalan Perani, Bandar Seri Perani, Kota Tinggi, Johor.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor, pada jam 7.05 petang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.

“Seramai lapan anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira terbabas di bahu jalan. Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, Muhammad Syukur Osman, 30, cedera ringan dan seorang wanita warga emas, Asmah Kental, 64, cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Rafi, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam. Berikutan itu, pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa.

BACA JUGA: Warga Emas Maut SUV Rempuh Pokok

Walau bagaimanapun, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia. Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang tiba bagi memberikan rawatan di lokasi kejadian.

Operasi menyelamat dilaporkan selesai pada jam 8.24 malam, maklumnya lagi.

Warga Emas Maut Langgar Kenderaan PLUS

Sebelum ini, seorang warga emas dilaporkan maut dalam satu kemalangan melibatkan empat buah kenderaan, lapor Bernama.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Kilometer (KM) 358.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara.

Langgar Kereta Di Bahu Jalan

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux milik PLUS Ronda sedang berhenti di lorong kecemasan sekitar jam 5 petang.

Kenderaan tersebut berhenti bagi memberikan bantuan kepada pemandu Suzuki Swift yang mengalami masalah pancit tayar.

“Tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 telah melanggar belakang Toyota Hilux tersebut sebelum terbabas ke kanan jalan, dan kemudiannya dilanggar pula oleh kereta Kia Optima.

“‘Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5, seorang lelaki berumur 70 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. Manakala isterinya, 59 tahun menerima rawatan di Hospital Slim River, akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian. Ia bagi mengeluarkan mayat mangsa dan isterinya yang tersepit.

Operasi menyelamat dilaporkan tamat sekitar jam 6 petang.

BACA JUGA: Penerbit Yang Semakin Melonjak, Sekali Ada Yang Ungkit Cerita Lama

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?