Siakap Keli
Peniaga lemang didenda rm500
Kredit Astro Awani

Peniaga Lemang Pukul Pelanggan Guna Buluh Didenda RM500

Peniaga Lemang Pukul Pelanggan Guna Buluh Didenda RM500

Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari ini menjatuhkan hukuman denda RM500 ke atas seorang peniaga lemang atas pertuduhan memukul pelanggannya dengan menggunakan buluh.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas tertuduh tidak berpuas hati kerana dituduh menjual juadah lemang yang mentah.

Tertuduh, 41 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Marzana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan kepada tertuduh, dia didapati telah menyebabkan kecederaan kepada seorang mangsa berusia 62 tahun dengan sengaja.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8 malam di sebuah gerai lemang yang terletak di Jalan Bukit Beruang, Melaka tengah pada 21 April lalu.

Ekoran daripada kejadian itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon agar hukuman setimpal boleh dikenakan ke atas tertuduh.

Mangsa yang juga warga emas mengalami kecederaan pada tangan dan telinga

Ia selepas mangsa yang merupakan warga emas telah mengalami kecederaan pada tangan dan telinga kirinya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya itu.

Selain itu, tertuduh turut mengakui tindakan itu kesan daripada perasaan marah yang dialaminya selepas mendapat provokasi daripada mangsa yang menuduhnya menjual lemang mentah.

Mahkamah kemudiannya telah menetapkan hukuman denda sebanyak RM500 atau penjara selama dua bulan ke atas tertuduh jika gagal berbuat demikian.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Terdahulu, polis berjaya menahan seorang peniaga lemang selepas klip video berkaitan kejadian tersebut telah tular di media sosial.

Video tersebut menunjukkan peniaga berkenaan telah bertindak memukul pelanggannya menggunakan buluh dan menyebabkan kecederaan.

Kejadian yang berlaku pada malam raya itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang mendakwa tertuduh telah menjual juadah yang masih tidak masak.

Sebelum tertuduh bertindak memukul mangsa, pertengkaran mulut dikatakan telah berlaku antara dua lelaki berkenaan.

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.