Siakap Keli
masalah air ums
Kredit: BERNAMA

Anwar Umum Peruntukan RM3 Juta Atasi Masalah Air Di UMS

Anwar Umum Peruntukan RM3 Juta Atasi Masalah Air Di UMS

KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) — Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di universiti itu.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun negara berdepan dengan keterhutangan negara sebanyak RM1.5 trillion, namun beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

“Dalam beberapa hari ini, kita pastikan wang itu disalurkan kepada kerajaan negeri, jangan ganggu mahasiswa, jangan ganggu staf, itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan,” katanya  pada Majlis Temu Anwar @UMS Kota Kinabalu disini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Yusof Apdal, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu tidak mudah untuk diberikan, namun ia diberikan atas kesedaran beliau memahami kesukaran mahasiswa yang dianggapnya seperti anak sendiri.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengatasi masalah sekolah daif serta keperluan pendidikan di negara ini, dan melalui Kementerian Pendidikan, kerajaan sedang menjalankan usaha ke arah penyelesaian masalah itu.

“Saya tanya Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) beri saya jumlah keperluan (baiki) sekolah daif, tandas rosak, klinik rosak itu, perlukan RM1.4 billion. Pengalaman saya lihat sekolah lapan tandas ada empat rosak, empat tandas tiga rosak jadi adakah kita mahu latih anak kita beratur (masuk tandas) seperti filem Bujang Lapok,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Presiden Indonesia Joko Widodo dijadual mengadakan lawatan ke Malaysia pada minggu depan.

Anwar berkata tujuan lawatan itu bagi memperkukuhkan kerjasama hubungan bilateral antara kedua-dua negara, antaranya perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana