Siakap Keli
Pusat Rawatan Madinah Lengkap Pelbagai Kemudahan, Doktor Pakar
Kredit: Bernama

Pusat Rawatan Madinah Lengkap Pelbagai Kemudahan, Doktor Pakar

Pusat Rawatan Madinah Lengkap Pelbagai Kemudahan, Doktor Pakar

MADINAH, 31 Mei (Bernama) — Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Madinah yang menjadi premis pertama memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi, dilengkapi pelbagai kemudahan dan doktor pakar.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan) Dr Abdul Jalil Ahmad berkata pusat rawatan berkenaan dilengkapi kemudahan antaranya wad dengan kapasiti 33 katil, unit kecemasan, x-ray, fisioterapi, ambulans dan makmal perubatan.

Beliau berkata pusat rawatan yang beroperasi 24 jam melibatkan keseluruhan 59 petugas itu turut menempatkan doktor pakar kecemasan, bius, perubatan keluarga dan kesihatan awam.

“Pusat Rawatan Madinah ini boleh dikategorikan sebagai sebuah hospital rujukan daripada klinik-klinik yang terdapat di zon (hotel penginapan jemaah haji Malaysia) kerana kita mempunyai kepakaran tertentu,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, jika jemaah haji yang dibawa ke pusat rawatan berkenaan tidak dapat distabilkan, memerlukan pemeriksaan lanjut atau pembedahan, pihaknya akan merujuk pesakit berkenaan ke hospital Arab Saudi.

Selain itu, Dr Abdul Jalil berkata pihaknya juga mempunyai pasukan perubatan terminal haji yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di sini.

Beliau berkata pasukan tersebut akan melakukan saringan kesihatan secara cepat terhadap jemaah haji yang tiba dari Malaysia sebelum mereka menaiki bas ke hotel penginapan masing-masing.

“Pasukan ini berada di lapangan terbang sebab mereka boleh tengok keadaan jemaah haji bila keluar daripada pesawat…kita boleh nampak jemaah haji itu sedang sakit dada, atau sesak nafas atau berjalan terhuyung-hayang sebab ada jemaah haji tertinggal makan ubat,” katanya menambah pasukan tersebut akan memberikan rawatan segera jika berlaku situasi berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata Pusat Rawatan TH Madinah lulus saringan dan pemeriksaan ketat Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada 25 Mei lepas.

Ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi, buat dua tahun berturut-turut.

BACA: Nak “Aircond” Kereta Sentiasa Sejuk? Ini 3 Benda Yang Perlu Dijaga

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma