Siakap Keli

KEMAS Bakal Lahirkan 100,000 Huffaz Cilik Menjelang 2026

Putrajaya, 31 Mei – Seramai seratus ribu kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) di  bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat, KEMAS disasarkan menjadi `Huffaz Cilik’ tiga tahun lagi  melalui Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS . 

Program berkenaan akan dilaksanakan Julai ini dengan kerjasama Yayasan Pahang selaku rakan  strategik yang akan membantu dari aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, teknik hafazan, pemantauan, perkongsian amalan terbaik serta latihan secara berterusan. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, program ini adalah nilai  tambah bagi Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang memberi penekanan dan  tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian Al Quran. 

Modul PPI yang dilaksanakan sejak 2017 ini merangkumi pengaplikasian kaedah pembelajaran  yang bersifat kontemporari dan berkonsep didik hibur. 

Tambah beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Program TABIKA Pra  Tahfiz KEMAS ini mengabungkan elemen 7M iaitu Mengaji, Menghafaz, Membaca, Menulis,  Mengira, Menaakul dan Manusiawi. 

“Pelaksanaan program ini untuk menanam minat anak-anak menghafaz dan mencintai Al-Quran di  usia muda melalui kaedah menguasai hafazan surah lazim dalam Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab dan Tadabbur”

Katanya lagi, KEMAS turut mensasarkan penglibatan lebih 1,500 kanak-kanak bimbingannya  mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha dalam persiapan ke Tahun Satu  menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini. 

Jumlah ini akan bertambah secara berperingkat kepada 4,000 kelas pada tahun hadapan, 3,000  kelas pada tahun 2025 dan menjelang tahun 2026 semua TABIKA KEMAS akan melaksanakan  modul Pra Tahfiz ini. 

Setakat ini jumlah TABIKA KEMAS seluruh negara adalah sebanyak 10,701 buah membabitkan  216,322 murid. 

Datuk Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan sesi Libat Urus Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS Bersama Masyarakat Tahun 2023 hari ini. 

Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi. 

Dalam perkembangan lain, KEMAS juga meraih Anugerah `Trusted Brand’ bagi kategori Pusat  Pembelajaran Pra Sekolah Pilihan Pengguna di Malaysia sebanyak empat kali oleh Reader’s  Digest pada tahun 2017, 2020,2022 dan 2023. 

Pengiktirafan ini berdasarkan undian atas talian yang dijalankan oleh Reader’s Digest kepada  hampir 8,000 responden mengenai pandangan pengundi terhadap sistem pendidikan pra sekolah  di Malaysia. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa