Siakap Keli

KPKPT Umum Peruntukan RM2.52 Juta Bagi Projek Menaik Taraf Dan Penyelenggaraan Di Bawah MDSB

SEKINCHAN, 31 Mei 2023 – YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.52 juta kepada Majlis Daerah Sabak Bernam dalam lawatan kerja beliau ke Sekinchan hari ini. YB KM telah mengadakan sesi lawatan ke Pekan Sekinchan bagi meninjau kemudahan asas, sistem perparitan dan keperluan berkaitan pasar awam.

Jumlah peruntukan yang telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini meliputi projek menaik taraf dan penyelenggaraan seperti berikut;

1. Projek Menaik Taraf Longkang Utama di Jalan Bernam, Pekan Sekinchan;
2. Projek Pemasangan Papan Iklan (Billboard) LED di Pekan Sekinchan;
3. Projek Menaik Taraf Bumbung Gerai Penjaja Pasar Awam Sekinchan; dan
4. Projek Membaik Pulih dan Membina Infrastruktur di 6 buah Kampung Baru Cina di sekitar kawasan Sekinchan.

Menurut YB KM, “Penyaluran peruntukan berjumlah RM2.52 juta ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan para peniaga dan pengunjung bagi merancakkan lagi ekonomi setempat. Selain itu, ia juga merupakan usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dengan penyediaan infrastruktur yang selesa, efisyen dan selamat kepada orang awam.”

Tambah beliau, “Peruntukan naik taraf longkang utama di Jalan Bernam, pemasangan papan iklan (billboard) LED di Pekan Sekinchan dan bumbung Gerai Penjaja Pasar Awam Sekinchan serta membaik pulih dan membina infrastruktur awam adalah untuk memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan.”

Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah YB Tuan Ng Suee Lim, ADUN Sekinchan, Tuan Haji Suhaimi bin Ali @ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), YBhg. Dato’ Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan
Kerajaan Tempatan serta barisan pegawai kanan KPKT bersama ketua jabatan peringkat negeri dan daerah.

KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa