Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wee Ka Siong Enggan Tarik Balik Kenyataan Isu Peruntukan RM2.1 Bilion JALB

SIONG
Kredit: Bernama

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, enggan menarik balik kenyataannya berhubung isu perbezaan peruntukan dan perbelanjaan berjumlah RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Presiden MCA itu sebaliknya menuntut penjelasan terperinci diberikan kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, perkara itu dibangkitkan bagi membersihkan nama kerajaan susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).

“Kalau orang luar mungkin tidak faham apa sebenarnya berlaku. Sekiranya ia tidak dijelaskan melalui nota kaki, ia akan membawa pemahaman dan persepsi berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini, seperti yang dikongsikan menerusi Facebooknya.

Ka Siong menjelaskan bahawa pelaksanaan projek kerajaan tertakluk kepada prosedur kewangan yang ketat, termasuk kelulusan Kementerian Ekonomi bagi perubahan siling peruntukan serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi pengeluaran waran perbelanjaan.

Katanya, peruntukan lazimnya disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan dan kemajuan projek, manakala sebarang pelarasan perlu mendapat kelulusan pihak berkaitan.

“Kalau ada perubahan dari segi jumlah yang diluluskan, ia mesti mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi untuk meningkatkan siling. Kedua, mesti mendapat kelulusan daripada MOF untuk waran. Kalau tidak, siapa nak bayar?” katanya.

Mengulas desakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, supaya beliau menarik balik kenyataannya dalam tempoh 24 jam, Ka Siong menegaskan bahawa beliau tidak pernah menuduh wang berkenaan diselewengkan.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan asas desakan tersebut dan menegaskan bahawa perkara itu perlu dijelaskan berdasarkan prosedur kewangan yang ditetapkan.

“Kalau kes ini betul-betul sakau, tangkap orang itu. Tak ada masalah. Tapi kalau perkara yang mustahil berlaku, apa yang patut kita terangkan ialah prosedur kita memang tak boleh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kenyataannya bukan bertujuan menyalahkan MOF atau KKDW, sebaliknya mahu memastikan projek dilaksanakan dengan baik serta mengelakkan pegawai kerajaan terpalit dengan persepsi negatif tanpa penjelasan lengkap.

Terdahulu, Zhemin pada sidang media di Pusat Media Parlimen meminta Ka Siong menarik balik kenyataan bahawa KKDW menerima peruntukan menerusi bajet tambahan dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, semakan terhadap hansard persidangan Dewan Rakyat bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendapati tiada bajet tambahan diperuntukkan kepada KKDW dalam tempoh berkenaan.

“Kalau dalam masa 24 jam dia tak tarik balik kenyataan ini, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Sebab Hansard hari ini belum keluar lagi. Saya tunggu hansard keluar, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.

Intipati
  • Wee Ka Siong enggan menarik balik kenyataan mengenai isu RM2.1 bilion JALB.
  • Beliau menuntut penjelasan terperinci supaya orang ramai tidak keliru mengenai peruntukan berkenaan.
  • Chong Zhemin berkata hansard 2023 hingga 2025 tidak menunjukkan bajet tambahan KKDW.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan