Siakap Keli
mahathir muhyiddin kerjasama
Kredit: BERNAMA

Tun Mahathir Sedia Jalin Kerjasama Semula Bersama Muhyiddin

Tun Mahathir Sedia Jalin Kerjasama Semula Bersama Muhyiddin

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan dirinya bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semula, jika mempunyai matlamat sama yang ingin dicapai, lapor Awani.

Bekas perdana menteri itu kemudian menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu diketengahkan jika kerjasama itu terbentuk.

Ujarnya, selain menolak individu yang mempunyai rekod rasuah atau salah laku jenayah, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu juga perlu dijadikan matlamat utama.

Beliau turut menjelaskan perpecahan terjadi apabila masyarakat Melayu memilih mengikut kepercayaan politik sendiri yang menyebabkan keadaan menjadi sukar buat parti politk Melayu.

“Kita hendak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita (Melayu) berpecah jadi banyak parti, kita hilang kuasa.

“Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya pada Rabu.

Pada 2016, Muhyiddin menubuhkan parti Bersatu dan ia dilakukan bersama Tun Mahathir, yang merupakan pengerusi sebelum ia menyertai gabungan politik Pakatan Harapan (PH).

PH telah berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Walau bagaimanapun, Tun Mahathir telah dipecat selepas dua tahun kerana melakukan perubahan kerajaan menerusi ‘Langkah Sheraton’, di mana PH tumbang sebagai kerajaan.

Kemudian, Malaysia telah dipimpin oleh PN, yang mempengerusikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika itu.

Anwar telah masukkan kehadiran dalam kes saman Dr Mahathir

Terdahulu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan kehadiran dalam kes saman Tun Mahathir terhadapnya yang menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lepas.

Memorandum kehadiran itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Thomas Philip yang mewakili Anwar selaku defendan pada 16 Mei.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Anwar ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 31 Mei ini secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali.

Sumber: Astro Awani

BACA: Tun Dr. Mahathir Dakwa PRU15 Pilihanraya Paling Korup Dalam Sejarah

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana