Siakap Keli
Kredit: Bernama

Tun Dr. Mahathir Dakwa PRU15 Pilihanraya Paling Korup Dalam Sejarah

Tun Dr. Mahathir Dakwa PRU15 Pilihanraya Paling Korup Dalam Sejarah

Bekas Perdana Menteri Keempat dan Kesembilan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam untaian Twitter baru-baru ini mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan edisi pilihan raya yang paling korup dalam sejarah negara.

”Setiap calon yang menang dalam PRU itu, menang kerana memberi rasuah kepada pengundi-pengundi.

”Rasuah diberi secara terang-terang. Ramai yang menerima rasuah itu sebelum keluar mengundi. Malah, ramai juga yang menjadi saksi, melihat perbuatan rasuah itu dilakukan,” dakwanya.

Malah katanya, perbuatan memberi rasuah dan arahan calon mana yang hendak dipangkah di atas kertas undi itu juga tidak disembunyikan.

”Badan pencegah rasuah dan polis juga sudah tentu melihat perbuatan tersebut. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang ditahan atau didakwa. Merasuah pengundi nampaknya sudah menjadi normal.

”Pengundi pun berharap, petugas-petugas parti juga merasakan itu tugas mereka dan mana-mana individu yang melihat perbuatan merasuah pengundi itu merasakan ia sebahagian daripada proses mengundi,” dakwanya lagi.

Dalam pada itu juga, beliau turut mendakwa terdapat bukti yang menunjukkan perbuatan rasuah ketika kempen pilihan raya berlaku tanpa halangan. Katanya, jelas kelihatan jumlah wang yang besar telah digunakan untuk mempromosi calon-calon dan parti-parti yang bertanding.

Menurut beliau lagi, adalah normal untuk kawasan-kawasan bandar, kampung dan pedalaman dihiasi bendera, bunting, poster dan papan tanda. Parti-parti yang bertanding akan memasang bendera pada pembahagi jalan,  tiang lampu, pada pokok-pokok malah hingga ke kawasan semak.

Namun begitu, beliau berkata kos untuk semua perkara tersebut adalah tidak murah. Harga sehelai bendera mencecah RM 3/- dan begitu juga dengan batang buluh yang digunakan untuk memacak bendera yang berharga RM 3/-.

”Jadi, setiap bendera yang dipasang berharga RM 6/-. Terdapat puluhan ribu bendera ini di setiap kawasan tempat mengundi, yang jumlahnya di seluruh negara boleh mencecah jutaan bendera.

”Satu juta bendera akan memakan kos RM 1 juta dan 10 juta bendera menelan kos RM 10 juta. Kita ada 222 kerusi parlimen dan ribuan petugas serta ‘sukarelawan’ parti yang dibayar.

“Setiap parti berkemungkinan akan membelanjakan wang sebanyak RM100 juta. Ada yang kata, jumlah pembelanjaan sebenar melebihi daripada anggaran tersebut. Malah, ada calon yang diketahui membelanjakan sehingga RM 25 juta.

” Jika setiap parti membelanjakan RM100 juta, soalan yang perlu ditanya adalah dari mana datangnya duit tersebut?” soal mantan perdana menteri itu.

Sebahagiannya mungkin dari derma, namun bagi parti-parti kerajaan, duit itu sudah tentu adalah duit kerajaan, dakwanya.

Mengenai perbelanjaan yang tinggi ini, beliau meminta agar segala sumber kewangan bagi parti-parti ini dijelaskan dan kegagalan berbuat demikian perlu disiasat dengan lebih lanjut.

“Jika wang-wang tersebut datang dari sumber yang tidak sah di sisi undang-undang, calon atau parti yang bertanding perlu dikenakan tindakan. ”

Seterusnya, bekas Pengerusi Pejuang ini menggesa agar pihak berkuasa meletakkan had terhadap perbelanjaan parti ketika musim mengundi.

Beliau berkata, jumlah pembelanjaaan setiap parti perlu dipantau dan jika pihak tersebut telah meletakkan maklumat yang tidak tepat dalam belanjawannya, calon atau parti tersebut perlu dikenakan undang-undang.

“Maklumat yang tidak tepat perlu dikenakan penalti dari sekecil-kecil denda, sehingga kehilangan kerusi bagi tempat yang dipertandingkan.

Pada hujung kenyataannya, Mahathir menjelaskan keburukan yang diperolehi, jika Malaysia dikuasai oleh pemimpin-pemimpin yang mengamalkan korupsi.

Antara kesannya, Malaysia berkemungkinan akan menjadi negara yang gagal, dan tersasar daripada landasan walaupun negara ini memiliki potensi yang besar untuk digelar sebagai negara Harimau Asia.

”Malaysia ada ramai orang yang baik-baik. Tetapi mereka tidak mengundi, jika mereka mengundi Malaysia mungkin berjaya sekali lagi,”.

BACA: PRU15: Calon Termuda 23 Tahun, Dr Mahathir Kekal Calon Paling Tua 97 Tahun

Sumber: chedetofficial via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma