Siakap Keli
Kes larikan Perodua Axia
Kredit BERNAMA

Dua Lagi Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Larikan Perodua Axia

Dua Lagi Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Larikan Perodua Axia

KEPALA BATAS, 2 Jun (Bernama) — Polis  menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa suspek merampas dan melarikan sebuah kereta Perodua Axia di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang dekat sini, semalam yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata dengan penahanan dua lelaki itu, menjadikan lima suspek ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan polis berjaya mengesan dan menahan dua lelaki itu yang merupakan pemberi pinjaman berusia 57 tahun dan penarik kereta berumur 49 tahun, dan mereka ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini hari ini.

“Polis percaya dengan penahanan dua lagi lelaki itu, kami dapat menyelesaikan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya semua lima suspek itu, kini direman sehingga 6 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Semalam polis menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 49 tahun secara berasingan di Seberang Jaya dan Butterworth, di sini serta Kuala Kangsar, Perak susulan kejadian sebuah Perodua Axia dilarikan dan pemandunya ditarik keluar ketika berhenti di lampu isyarat.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kerana ibu kepada pemandu kereta tersebut gagal membayar pinjaman wang sebanyak RM100,000 yang dipinjamnya daripada seorang lelaki, pada 2020.

Ibu mangsa bersetuju menyerahkan Perodua Axia itu melalui satu perjanjian bertulis dan ekoran kegagalan wanita tersebut menjelaskan pinjaman itu telah menyebabkan suspek merampas kenderaan berkenaan.

Rakaman video berdurasi 24 saat mengenai kejadian tersebut, kemudiannya tular di media sosial.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka