Siakap Keli
Premis perniagaan pelihara ayam itik
Kredit Sinar Harian

Warga Asing Jadikan Premis Perniagaan Tempat Pelihara Ayam & Itik 

Warga Asing Jadikan Premis Perniagaan Tempat Pelihara Ayam & Itik 

Premis dijadikan tempat penyimpanan, pelihara dan jualan ayam serta itik oleh peniaga warga asing dari Myanmar dilaporkan telah disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Memetik Sinar Harian, operasi tersebut telah dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

Operasi yang dinamakan sebagai Operasi Tindakan Khas Premis Perniagaan itu telah dijalankan di sekitar Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Selayang.

Menurut unit media DBKL, premis berkenaan didakwa telah menimbulkan gangguan awam yang melibatkan isu kekotoran. Ia juga telah menghalang laluan dan menyebabkan bau busuk sekitar kawasan berhampiran.

Premis diarahkan untuk ditutup

Ekoran daripada operasi itu, dua notis telah dikeluarkan dan arahan penutupan premis turut diberikan kepada pemilik premis terbabit.

“DBKL mengeluarkan satu Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Satu notis kompaun warga asing mengendalikan premis tanpa kebenaran mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

“DBKL turut membuat tindakan penutupan serta merta (sealed) terhadap premis berkenaan melalui Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada hari ini. 

Tambah DBKL lagi, barang perniagaan premis yang disita dari premis berkenaan telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL bagi menjalani proses dokumentasi lanjut.

Dalam operasi yang berlainan pada Isnin lalu, DBKL bertindak atas aduan orang ramai telah menjalankan operasi mereka di lokasi yang sama. Operasi itu membabitkan aduan awam berhubung seekor kambing yang dipelihara di dalam premis.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Terdahulu, tular video memaparkan aksi seorang lelaki warga asing yang dipercayai warga Myanmar memarahi polis di sebuah kedai runcit di Skudai.

Polis dalam kenyataannya mengesahkan bahawa video tular tersebut merupakan sebuah video lama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut didapati berlaku pada tahun lalu. Ia berlaku di sebuah kedai runcit yang terletak di Taman Tan Sri Yaacob.

“Kejadian itu dikesan berlaku pada 2022 di kedai runcit berkenaan, tetapi video itu tular sejak Ahad lalu.

“Suspek merupakan pelanggan kedai runcit tersebut dan sering datang ke premis itu dalam keadaan mabuk serta membuat bising.

“Pemilik kedai runcit sudah mengesahkan bahawa lelaki itu sudah lama tidak datang ke premis berkenaan kerana sudah berpindah,” katanya menerusi kenyataan media.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka