Siakap Keli
Kredit: Sinar Harian

Gara-gara Tidak Disapa ‘Baby’, Lelaki Mengamuk Baling Makanan

Gara-gara Tidak Disapa ‘Baby’, Lelaki Mengamuk Baling Makanan

Gara-gara tidak dipanggil dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’, seorang lelaki naik berang dan bertindak di luar kawalan dengan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas dalam kejadian di sebuah restoran pada Ahad.

Lapor Sinar Harian, insiden tular itu dipercayai berlaku di sekitar Putra Height, kira-kira 9 pagi pada 4 Jun.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran dan secara tiba-tiba lelaki tersebut bertindak keterlaluan.

Ujarnya, lelaki itu menjerit sebelum membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam restoran.

Tindakan agresif lelaki itu menyebabkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada berdekatan terkena dengan balingan tersebut.

Selepas kejadian itu tular di media sosial, pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada Selasa, menurut Wan Azlan.

BACA: Tular Pukul Kepala Wanita, Lelaki Ditahan Polis

Berlaku kerana salah faham

Hasil siasatan mendapati kejadian itu tercetus kerana berlaku salah faham antara pekerja pengadu dan suspek.

“Suspek merupakan pelanggan yang membeli makanan dan minuman di restoran tersebut.

“Pekerja pengadu telah memanggil suspek dengan panggilan pak cik, tetapi suspek meminta pekerja pengadu memanggil dirinya dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’.

“Namun perkara itu tidak diendahkan oleh pekerja pengadu dan terus memanggil suspek dengan panggilan pak cik,” katanya pada Selasa.

Bertindak agresif

Tambah Wan Azlan, pada permulaan pengadu menyerahkan bungkusan yang telah dipesan.

Kemudian secara tiba-tiba suspek melakukan tindakan di luar kawalan dengan menjerit serta memaki hamun.

Mengulas lanjut Wan Azlan berkata lelaki itu juga membuat gangguan dengan membaling kerusi dan menendang meja makan di kedai sehingga mengganggu ketenteraman pelanggan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

“Pihak polis meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat jika terlihat suspek atau menghubungi talian Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya iaitu 03-78627100.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33094457 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Kata Wan Azlan, pihaknya masih berusaha untuk mengesan suspek.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana