Penunggang Motosikal Cedera Terlibat Kemalangan Gara-Gara Babi
Seorang penunggang motosikal dilaporkan cedera selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Jalan Desa Pinggiran Putra gara-gara bangkai babi, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 6.47 pagi tadi.
“Siasatan mendapati kenderaan jenis Honda City dipandu seorang lelaki berumur 57 tahun dari arah Desa Pinggiran Putra menghala ke Alamanda sebelum melanggar bangkai babi yang berada di tengah jalan.
“Kenderaan mangsa yang hilang kawalan kemudian merempuh tiga lagi kenderaan termasuk sebuah motosikal yang ketika itu berada di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati salah sebuah daripada tiga kenderaan yang berada di bahu jalan dikatakan telah melanggar bangkai babi tersebut terlebih dahulu.
“Penunggang motosikal yang dilanggar oleh Honda City tersebut mengalami kecederaan luka ringan di bahagian tangan kanan, kaki kiri dan telah menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
“Tiga pemandu kenderaan lain yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.
Menurut Wan Kamarul, siasatan lanjut berhubung kejadian masih lagi dijalankan oleh pihaknya.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM300 terhadap seorang penganggur lelaki yang berang ekoran tidak dipanggil “Abang” dan “Baby”.
Lelaki Mengamuk Tak Disapa ‘Baby’ Didenda
Tertuduh, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam di sebuah restoran di Subang Jaya, pada awal bulan ini.
Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman memohon hukuman setimpal dijatuhkan oleh mahkamah sebagai pengajaran.
Tambahan lagi, tertuduh tidak diwakili peguam.
BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh yang merupakan bekas pemandu lori didakwa melakukan mudarat awam sehingga mencetuskan kegusaran kepada orang awam.
Pada pukul 9 pagi, 4 Jun lalu di sebuah restoran di Putra Heights, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut.
Tertuduh dilaporkan bertindak membaling bungkusan nasi dan air Nescafe panas selepas berang tidak dipanggil dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’.
Sumber: Sinar Harian