Lee Zii Jia Umum Berehat Seketika Dari Badminton
Pemain badminton profesional Malaysia, Lee Zii Jia pada hari ini telah mengumumkan bahawa beliau akan berehat seketika dalam dunia sukan badminton buat sementara waktu.
Memetik Lifestyle Asia, pengumuman itu dibuat Zii Jia selepas tewas dalam pusingan pertama di Kapal Api Group Terbuka Indonesia 2023. Zii Jia dilaporkan kalah dua kali secara berturut-turut dalam kejohanan tersebut.
Kekalahan dan pengumumuan tersebut telah menimbulkan tanda tanya kepada peminat tentang masa depan Zii Jia dalam sukan itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia menjelaskan bahawa dia akan berehat dalam sukan badminton sehingga dia mendapatkan semula semangatnya.
Walaupun beliau pernah merangkul pelbagai kejayaan pada kejohanan yang lepas, namun prestasi semasa ketika di dalam gelanggang membuatkan dirinya berasa tidak berkeyakinan.
Sebelum ini, Zii Jia dilaporkan pernah sampai ke separuh akhir di All England dan kejohanan badminton Terbuka Switzeland, serta beraksi baik di Piala Sudirman.
Menurut Zii Jia, dia kini tidak dapat memberikan fokus 100 peratus dalam pemainan semasa berada di dalam gelanggang.
“Ia terlalu berat untuk saya di atas gelanggang, saya tidak boleh menumpukan perhatian 100 peratus. Eloklah saya berehat. Keutamaan bagi saya adalah untuk mencari semangat saya semula semasa di dalam gelanggang,” kata Zii Jia.
Kehilangan semangat Zii Jia jelas kelihatan selepas dia menyatakan bahawa dia masih belum memikirkan tentang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris pada 2024 depan.
Malah Zii Jia juga seakan memberi bayangan bahawa dia mungkin akan berhenti bermain dalam mana-mana kejohanan sama sekali dan tidak pasti untuk berapa lama.
Walau bagaimanapun, Zii Jia menekankan bahawa dia memerlukan masa untuk berehat dan mendapatkan semula motivasinya dalam sukan itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya dalam badminton.
BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu
Keputusan Zii Jia untuk berehat seketika dalam badminton sudah pasti akan mendapat perhatian dari peminat dan pengkritik kerana statusnya sebagai pemain profesional.
Walaupun masih tidak jelas bila dia akan kembali ke gelanggang, apa yang pasti ialah dia sangat memerlukan masa untuk berehat dan memulihkan diri. Ia termasuk dari segi fizikal dan mental.
Kekalahannya baru-baru ini dalam kejohanan terbuka di Indonesia itu jelas telah menjejaskan motivasinya.
Keputusan untuk berehat seketika dalam sukan itu membuktikan keinginannya untuk kembali semula di masa hadapan.
Sumber: Lifestyle Asia