Siakap Keli
eksekutif akaun pecah amanah
Kredit: BERNAMA

Eksekutif Akaun Dituduh Pecah Amanah Wang Syarikat Lebih RM600,000

Eksekutif Akaun Dituduh Pecah Amanah Wang Syarikat Lebih RM600,000

MELAKA, 20 Jun (Bernama) — Seorang eksekutif akaun wanita sebuah syarikat didakwa di dua buah Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM680,108.13.

Tertuduh, 43, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan tiga lagi di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi tiga pertuduhan, dia dituduh memindahkan wang berjumlah RM293,249.28 ke dalam akaun peribadinya di sebuah premis di Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka, di sini, antara 4 Julai 2019 hingga 23 Okt 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai wang.

Darmafikri menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan.

Bagi tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah RM396,858.85 dengan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun peribadinya serta sebuah syarikat lain.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama manakala tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan serupa.

Hakim Mohd Sabri menetapkan jaminan RM35,000 dan membenarkan syarat tambahan. Sebutan kes ditetapkan pada 18 Julai.

Sumber: BERNAMA

BACA: Guru Besar Didakwa Pecah Amanah Wang Sewaan Mesin Layan Diri

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.