Siakap Keli
kerani akaun pecah amanah
Kredit: BERNAMA

Bekas Kerani Akaun Didakwa Lapan Pertuduhan Pecah Amanah Babit RM70,000

Bekas Kerani Akaun Didakwa Lapan Pertuduhan Pecah Amanah Babit RM70,000

GEORGE TOWN, 25 Mei (Bernama) — Seorang bekas kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM70,000.

Tertuduh, 38, yang kini bekerja sebagai penyambut tetamu hotel, dituduh melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian pada 2015 hingga 2019.

Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menunaikan lapan cek milik syarikat berkenaan untuk kegunaannya sendiri dan pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, T. Tamil Salvan, V. Parthipan dan Shamsher Singh Thind memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan suami tertuduh mempunyai masalah kesihatan yang serius selain tertuduh juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menetapkan 4 Julai untuk sebutan semula kes dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Guru besar didakwa pecah amanah wang sewaan mesin layan diri

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang sewaan mesin layan diri berjumlah RM3,600 di sebuah sekolah di Klang  antara 2017 dan 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh, 48, melakukan perbuatan itu dengan tidak mengkreditkan wang tersebut ke dalam akaun Kumpulan Sumbangan Wang Awam (SUWA) dan menggunakan wang berkenaan untuk diri sendiri di cawangan Maybank Islamic Bhd Bandar Baru Sungai Buloh, antara 9 Mac 2017 dan 10 Feb 2019.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kerani Didakwa Cederakan Pembantu Rumah Warga Indonesia Guna Seterika, Air Panas

Nurhanis